PERTH, 27.11.2022
Ikhwan Cafe Perth (ICP), salah sebuah restoran milik syarikat GISBH telah menyertai ‘World Food Festival’ atau Festival Makanan Sedunia bersama 2 syarikat perniagaan makanan Malaysia lain di Government House Gardens, di sini baru-baru ini.
Festival anjuran Kesatuan Pegawai Konsulat Australia Barat ini merupakan acara tahunan bagi meraikan pelbagai budaya dan komuniti di Australia Barat, termasuk makanan, telah menyaksikan penyertaan lebih 30 buah gerai makanan dari 20 buah negara.
Antara menu yang dijual ICP ialah sate ayam, roti canai, murtabak, nasi goreng kampung dan kuih tradisional Melayu, di mana roti canai dan sate menjadi tarikan utama pelanggan.
Gabenor Jeneral (GJ) Australia Barat, Mr Chris Dawson APM dan isteri Mrs Darrilyn Dawson telah mengunjungi gerai ICP pada sebelah tengahari diiringi CG Konsulat Malaysia, En Ahmad Fikri Zakian dan wakil staf ICP En Ahnaf Kamaruldzee.
Di kesempatan itu, En Ahnaf telah menyampaikan cenderahati berupa juadah nasi goreng kampung yang merupakan makanan kegemaran GJ Australia Barat itu, beserta kuih muih Melayu, mewakili Konsulat Malaysia.
Moga hubungan baik sedia ada antara kedua buah negara akan berterusan dengan adanya program-program seumpama ini.