Ikhwan Endurance sertai kejohanan kuda lasak di Beykoz, Istanbul

Views: 672

ISTANBUL, 26.12.2023
Setelah terlibat dengan beberapa Pertandingan Kuda Lasak di Malaysia dan Australia, Pasukan Ikhwan Endurance dari syarikat GISBH telah menyertai Kejohanan Kuda Lasak 40 km anjuran Cakirbey Endurance Team di Beykoz di sini baru-baru ini.

Seramai 50 peserta telah mengambil bahagian di dalam pertandingan kuda lasak ini di mana sebahagian peserta menyewa kuda dari Stable Kuda Cakirbey Ciftligi termasuk Ikhwan Endurance yang mengambil khidmat kuda sebanyak 5 ekor.

Mr. Thariq, pemilik Stable Kuda Cakirbey di Ciftligi, memelihara banyak kuda khususnya jenis ‘Pure Arabian’ dan menyediakan khidmat kuda untuk aktiviti-aktiviti endurance, safari, outride, latihan dan sebagainya di mana kebanyakan peserta Endurance di Turkiye mengambil khidmat kuda beliau.

Beliau sangat mengalu-alukan kedatangan YBhg. Tn. Mohd Adib At-Tamimi mengetuai Ikhwan Endurance menjalinkan hubungan dengan mereka.

Mr. Thariq rasa gembira dan berbesar hati apabila Tn. Adib berhasrat untuk menyertai Endurance yang beliau anjurkan pertama kali lebih-lebih lagi apabila Ikhwan Endurance juga turut mengambil kuda beliau.

Beliau sendiri mempunyai seekor kuda Arab yang paling disayangi dan belum pernah disewakan kepada sesiapa bernama Ryu. Pada mulanya bila pihak Ikhwan Endurance ingin menyewanya beliau enggan memberinya tetapi setelah menyaksikan Tn. Adib menunggang kuda tersebut dan dapat mengendalikannya dengan baik, beliau rasa berpuas hati dan setuju menyewakannya bahkan mengucapkan tahniah kerana Tn. Adib ada ‘connection’ dengan Ryu.

Sehari sebelum pertandingan bermula, Ikhwan Endurance diberi izin oleh Mr Thariq untuk berkampung di sekitar tapak pertandingan dan seperti biasa Tn Adib menyusun motorhome, caravan dan beberapa kenderaan untuk menyiapkan surau, penginapan dan dapur di mana Mr. Thariq dan kawan-kawannya turut hadir menikmati juadah yang disediakan dalam suasana kekeluargaan Islam yang indah.

Di hari pertandingan setelah sesi ‘Vet-Check’ jam 9.00 pagi seterusnya ‘Tactical Briefing’ oleh penganjur dan juri, ‘Flag Off’ bermula jam 10.00 pagi.

Para peserta dimaklumkan bahawa track tersebut ada mempunyai kawasan berlumpur sepanjang 1 kilometer, selain cabaran udara yang sejuk.

Mr. Thariq memperkenalkan Tn. Adib At-Tamimi kepada seorang personaliti pelakon ‘stuntmen’ Filem Ertugrul bernama Mr. Akal yang juga mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Remaja Pembela Ummah (RPU) Turki turut hadir untuk memberi sokongan dan bersilaturrahim dengan semua yang hadir, bahkan pihak tuan rumah dan DJ juga berulang kali menyebut kehadiran peserta dan orang Malaysia untuk memeriahkan endurance yang pertama kali dianjurkan ini.

Ketika sesi penyampaian hadiah dan bergambar, Tn. Adib At-Tamimi bertakbir sebanyak 3 kali lalu pihak media tempatan Beykoz meminta izin untuk diulang sekali lagi bertakbir sebanyak 3 kali untuk bahan siaran mereka yang diikuti oleh para peserta dan pengunjung juga turut bertakbir penuh semangat.

Semoga dengan penglibatan Ikhwan Endurance ini dapat lmempromosikan Islam sebagai cara hidup seperti yang sentiasa disarankan oleh Pengerusi Eksekutif GISBH, Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali.

Views: 672

Reviews for Ikhwan Endurance sertai kejohanan kuda lasak di Beykoz, Istanbul

There are currently no reviews for Ikhwan Endurance sertai kejohanan kuda lasak di Beykoz, Istanbul
Scroll to top