SETIU,19.09.2023
Dalam usaha memartabatkan sukan sunnah, Pengerusi Eksekutif GISBH YBhg. Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali menggalakkan penyertaan Ikhwan Endurance dari Syarikat GISBH untuk terlibat lagi dalam pertandingan Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang DiPertuan Muda Terengganu, berlangsung dari 15 – 17 September, melibatkan 129 penunggang kuda lasak dari dalam dan luar negara di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong (TIEP) di sini baru-baru ini.
Antara kategori dipertandingkan termasuklah CEN 40 KM, CEN 80 KM, CEN 100 KM, dan CEI 1* 100 KM.
YBhg. Tn. Muhammad Adib At-Tamimi selaku Presiden Ikhwan Stud Farm telah mengetuai pasukan Ikhwan Endurance bersama beberapa orang dari kalangan kepimpinan Remaja Pembela Ummah GISBH membawa 26 ekor kuda untuk bertanding dan beliau sendiri merupakan salah seorang penunggang kategori CEN 80 KM. Beliau diiringi YBhg. Tn. Nik Hazani Nik Mohamad, salah seorang Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH, hadir sebagai pemerhati dan memberi sokongan.
Dari jumlah 26 ekor kuda yang dibawa, 10 ekor kuda dipilih menyertai kategori CEN 40 KM dan 11 ekor lagi menyertai kategori CEN 80KM.
Bagi kategori CEN 40 KM, sebanyak 9 dari 10 ekor kuda dari Ikhwan Endurance telah berjaya melepasi sasaran ‘Complete’, manakala untuk kategori CEN 80 KM, 5 dari 11 penyertaan berjaya mencapai sasaran dengan baik dengan salah satu penyertaan mendapat tempat kedua terbaik dalam kategori Best Parameter Completion CEN 80 KM melalui kuda bernama Puteri.
Sehari sebelum acara pelepasan (flag off), pasukan Ikhwan Endurance telah menyertai acara sampingan (side event) iaitu Barrel Race dan Musical Chairs.
Ikhwan Endurance berjaya menduduki tempat kelima untuk pertandingan Barrel Race dan menjadi johan dalam acara Musical Chairs yang disertai 21 peserta.
Penyampaian hadiah bagi Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu untuk pelbagai kategori dan acara telah disempurnakan oleh DYTM Yang Di-Pertuan Muda Terengganu,
Tengku Muhammad Ismail Ibni al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Antara tetamu kehormat yang hadir termasuklah Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri, YB Hishamuddin Abdul Karim, Pegawai Daerah Setiu, Encik Ahmad Rizal Mamat, Komander Pengkalan Udara Subang, Brig. Jen. Dr. Norazrin Bin Shamsudin, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, YB Datuk Hj. Ahmad Amzad Hashim serta ADUN Kuala Besut, YB. Hj. Azbi Salleh.
Kehadiran pasukan Ikhwan Endurance dan IkhwanTv Official disenangi dan dikenali ramai termasuk golongan atasan bilamana mereka mengangkat tangan apabila bertemu.
Seorang kenalan GISBH, yang merupakan ADUN Kuala Besut, YB Hj. Azbi Salleh, adalah pemilik asal kepada kuda bernama Puteri, dihantar untuk dilatih di Ikhwan Stud Farm, sebuah pusat latihan kuda yang dibina atas saranan YBhg. Tn. Hj Nasiruddin Mohd Ali dan diusahakan dengan gigih oleh presidennya YBhg Tn. Muhammad Adib At-Tamimi di Gong Kulim, Pasir Putih Kelantan, bagi mendokong sunnah Rasulullah.
Setelah menjalani tempoh latihan tertentu, Puteri dipilih menyertai pertandingan kuda lasak di TIEP kali ini dan YB Hj. Azbi Salleh sangat gembira dengan kejayaan Puteri mendapat tempat kedua kategori Best Parameter.
Beliau berulangkali menyebut tentang kejayaan Puteri di hadapan rakan-rakannya dan dilihat sangat mesra dengan pasukan Ikhwan Endurance dan menyifatkan mereka sebagai ‘anak-anak’nya.
Semoga penyertaan Ikhwan Endurance dalam pertandingan sukan kuda lasak ini dapat memartabatkan sukan sunnah di persada antarabangsa dan meningkatkan rasa cinta dan rindu umat pada baginda Rasulullah SAW.