LEMBAH BIDONG, 01.07. 023
Ikhwan Endurance di bawah Jabatan Sukan Sunnah Berkuda Ikhwan Equestrian, GISBH telah sekali lagi menyertai RTES Endurance Ride Jun 2023 diadakan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) 23-25 Jun di sini baru-baru ini.
Sukan Kuda Lasak anjuran RTES kali ini melibatkan 23 penyertaan bagi kategori CEN 80 km yang kesemuanya adalah warganegara Malaysia, manakala bagi kategori CEN 40 km melibatkan 53 penyertaan dengan 1 penyertaan dari Singapura.
Antara kelab-kelab berkuda yang terlibat adalah Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PRDM), Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), Aurora Endurance Stable, KETC YS Rider Team, Aset Ipoh, BEST, Empezar Equestrian Club, MSUL Endurance Team, Jeram Gold Endurance Team, Bd An-Nassir, Persatuan Equestrian Paka, MZ Stable Endurance Team, Ashburn Club, Royal Kelantan Endurance (RKE), State of Terengganu Endurance (STET), Sri Pahang Equestrian Club, Asea Stable, Love and Respect Equestrian, Elmahdy Endurance Team and Stable, Cappe Cavallho, Ar-Raudhah Al-Amin, Ar-Raudhah Nx, Annur Stable Endurance Team dan Ikhwan Endurance dari GISBH.
Dalam pertandingan kali ini, Ikhwan Endurance menghantar 4 peserta menyertai kategori CEN 80 km dengan 3 ekor berjaya melepasi sasaran manakala untuk kategori CEN 40, sebanyak 8 penyertaan di hantar bersama 12 ekor kuda tambahan tetapi hanya 3 ekor melepasi sasaran.
Kuda-kuda tambahan dibawa bersama bertujuan melatih atau membiasakan kuda-kuda dengan suasana pertandingan.
Begitu juga tenaga yang menjadi kru dalam pertandingan ini adalah di kalangan barisan kepimpinan RPU, Ikhwan Aquatic selain Ikhwan Equestrian sendiri yang sedang dilatih bagi menjayakan Kejohanan Kuda Lasak di masa akan datang.
YDH Tuan Muhammad Adib Attamimi selaku Ketua Pegawai Penyelaras GISBH dan Presiden RPU bersama beberapa orang Pengarah Zon, baru sahaja tiba dari Australia atas urusan kerja beberapa hari sebelum itu, turut hadir pada endurance kali ini untuk memberi sokongan moral, panduan dan bimbingan cara pengendalian kuda sepanjang tempoh acara berlangsung.
Beliau juga menghadiahkan set barangan endurance yang dibeli dari Australia kepada team Ikhwan Endurance.
Sebagaimana lazimnya kategori CEN 40 km, peserta perlu menempuh 20 km loop pertama dan 20 km untuk loop kedua yang berakhir jam 10 malam manakala untuk kategori CEN 80 km pula peserta perlu mengharungi sejauh 30 km untuk loop pertama, 25 km untuk loop kedua dan 25 km loop ketiga dan diberi tempoh sehingga jam 2.30 pagi.
Setiap loop diberikan sebanyak 3, 4 atau 5 kawasan ‘waterpoint’ mengikut kilometer, bagi membolehkan kuda dan penunggang berhenti berehat seketika, memberi makan dan minum serta memandikan kuda yang kebiasaannya dibantu oleh kru dari pasukan masing-masing yang menunggu di kawasan tersebut.
Untuk endurance kali ini YDH Tuan Adib meminta pasukan Ikhwan Equestrian membawa kuda ‘Pure Arabian’. “Ia bertujuan untuk menjadi tarikan kepada rakan-rakan endurance yang lain yang berminat bekerjasama dengan GISBH, hasil dari itu ada yang turut berbangga sama atas usaha GISBH membawa kuda-kuda arab yang sangat ada kaitan dengan Rasulullah ini ke Malaysia,” jelasnya lagi.
“Hingga akhirnya Malaysia akan menjadi sebuah negara pengeluar kuda-kuda arab terbesar,” ujar YDH Tuan Adib Attamimi.
Beliau menyimpan hasrat mewujudkan pedigree (salasilah kuda arab berdaftar) di Malaysia sebagaimana terdapat di negara Mesir dan Australia dengan kerjasama gabungan kuda-kuda arab yang dipelihara oleh pelbagai kelab kuda tempatan.
Semoga pertandingan seumpama ini terus menjadi platform mengeratkan silaturrahim antara sesama manusia khususnya menambah kecintaan kepada baginda Rasulullah SAW melalui sunnahnya.