LEMBAH BIDONG, 30.05.2024
Ikhwan Endurance di bawah GISBH, turut hadir menyertai Kejohanan Kuda Lasak, Piala Ketua Polis Negara (KPN) Sempena Hari Polis Ke-217 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) selama 4 hari dari 30 Mei sehingga 2 Jun 2024 di sini.
Selain menyertai pertandingan, Ikhwan Martial yang juga di bawah GISBH turut membuat persembahan silat di majlis penutup sukan berprestij itu dan Ikhwan TV pula menjadi media rasmi yang memaparkan secara lintas langsung acara-acara di sepanjang pertandingan itu berjalan.
Selain Malaysia terdapat juga penyertaan dari Thailand, Singapura, Rusia dan China, di mana jumlah penyertaan sebanyak 43 kelab sukan berkuda.
Antara kelab-kelab tersebut termasuklah Royal Terengganu Endurance Stable, Ikhwan Endurance Team, PDRM Endurance Team, Royal Kelantan Endurance, At Raudah Endurance Team, HKRC Singapore, TJ Best, KETC, TNT Arabian Stable dan Legendary Endurance.
Sebanyak 89 penyertaan diterima untuk kategori CEN 40 km yang dibahagikan kepada 2 kumpulan di mana kumpulan A sebanyak 44 peserta dilepaskan pada jam 6.30 pagi manakala Kumpulan B sebanyak 45 peserta dilepaskan pada jam 6.45 pagi 30 Mei.
Bagi kategori VIP Ride 15km, CEN 80 KM yang berlangsung pada 1 Jun dimulakan dengan Sesi Vet-Check di sebelah pagi dan acara pelepasan ‘Flag Off’ pada jam 5.00 sehingga jam 5.30 petang yang disempurnakan oleh KPN, Tan Sri Razarudin Husain bagi kategori VIP Ride 15km CEN 80 km.
Manakala pelepasan kategori CEI 1* 100 km dilakukan oleh MB Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar.
Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin dari Kelab Royal Terengganu Endurance Stable memakai vest bernombor 107 menyertai kategori CEI 1* 100 km bersama penunggang 13 kelab yang lain, manakala, Tan Sri KPN dari PDRM Endurance Team memakai vest bernombor 47 menyertai kategori CEN 80 km yang disertai 43 peserta dari 22 kelab.
Majlis penutup diadakan pada 2 Jun 2024 dimana ucapan Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Tan Sri KPN dan disusuli dengan tayangan video ‘highlight’ sepanjang 4 hari berlangsung yang disediakan oleh Ikhwan TV.
la diikuti dengan sesi penyampaian cenderahati oleh Menteri Besar Terengganu pada pagi 2 Jun 2024 yang dihadiri barisan jemputan tetamu kehormat dan juga pemenang bagi kategori VIP Ride 15 km, CEN 80 km dan CEI 1* 100 km.
Di sesi penyampaian hadiah ini juga, YBhg Tn. Adib At Tamimi selaku Presiden Ikhwan Stud Farm telah menyampaikan cenderahati mewakili YBhg Tn Hj Nasiruddin Mohd Ali Pengerusi Eksekutif GISBH kepada YAB MB Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar dan KPN, Yang Dihormati Tan Sri Tan Sri Razarudin Husain.
Semoga silaturrahim, ukhwah dan kasih sayang yang terjalin sepanjang 4 hari program berlangsung, dirahmati dan mendapat keredhaan Allah atas nama memartabatkan sukan sunnah berkuda yang disarankan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.