PASIR PUTIH, 04.09.2023
Seramai 8 orang Remaja Pembela Ummah Muslimah (RPUM) GISBH di bawah unit Ikhwan Equestrian telah menyertai Kursus Asas Menunggang kuda selama 2 hari pada 2 dan 3 September di Ikhwan Stud Farm, Gong Kulim di sini semalam.
Kursus dikendalikan secara ‘Hands On’ oleh seorang kenalan Ybhg Tuan Muhammad Adib At-Tamimi Presiden RPU GISBH, Cik Faten Nur Ain Syakirah Mohd Yusoff, ketika sama-sama terlibat dalam pertandingan Horse Jumping di Shah Alam penghujung bulan Ogos lalu.
Dalam pertemuan itu, Ybhg Tuan Adib mencadangkan Cik Faten untuk mengadakan kursus asas menunggang kuda kepada unit berkuda muslimah GISBH. Beliau pemilik stable dan kelab kuda K4 Horse Riding dan syarikat FS Niaga sebuah kedai menjual barang-barang berkaitan kuda.
Beliau juga bertugas sebagai jurulatih, pengadil dressage, pengurus dan juri padang untuk Endurance, penganjur pertunjukkan berkaitan kuda dan pengurus syarikat IT International.
Beliau berpengalaman melatih kuda dan mendapat pendidikan secara formal di bidang berkaitan kuda dari pusat ekuestrian RISP dan STEC, Royal Kelantan serta memiliki ijazah lanjutan di bidang Horse Management SW Tafe Australia.
Pada hari pertama, peserta kursus didedahkan dengan selok-belok kaedah menunggang kuda, manakala pada hari kedua 5 orang peserta kursus menjalani latihan praktikal menunggang 5 ekor kuda dari jam 9.30 hingga 11 pagi.
Di hujung kursus diadakan sesi penyampaian cenderahati dari wakil Ybhg Tuan Adib kepada Cik Fatin diikuti sesi bergambar beramai-ramai.
Respon diterima dari fasilitator kursus ini mengatakan beliau berasa seronok mengajar kerana peserta mudah memahami apa yang diajar, berminat, menunjukkan kesungguhan dan dapat menjawab segala soalan yang diberi.
Bagi pihak peserta pula mereka bersyukur
mendapat peluang mengikuti kursus ini yang bukan saja memberi peluang belajar banyak teori menunggang kuda, melengkapkan pengetahuan praktikal sedia ada bahkan mendapat peluang menimba pengalaman berhadapan dengan masyarakat.
Semoga remaja Ikhwan Equestrian muslimah mampu tampil ke tengah masyarakat untuk berukhwah sambil menyuburkan rasa rindu kepada Rasulullah SAW atas platform ekuestrian.