Ikhwan Equestrian sertai Kejohanan Kuda Lasak Panglima Angkatan Tentera

Views: 970

SETIU, 04.08.2023
Pasukan berkuda GISBH, Ikhwan Endurance Team (salah satu sub unit di bawah Ikhwan Equestrian), telah menyertai Kejohanan Kuda Lasak Piala Panglima Angkatan Tentera, di Terengganu International Endurance Park-TIEP, Lembah Bidong, Terengganu, berlangsung pada 28-30 Julai, di sini baru-baru ini.

Kejohanan Kuda Lasak ini anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan Royal Terengganu Endurance Stables (RTES) disertai kelab-kelab berkuda tempatan, penyertaan perseorangan dan pasukan dari luar negara iaitu Thailand, Indonesia, Singapura dan Belarus.

Kejohanan Kuda Lasak Piala Panglima Angkatan Tentera telah dimulakan secara rasmi sejurus acara pelepasan ‘Flag Off’ pada 29 Julai 2023 disempurnakan secara bersama oleh Menteri Besar Terengganu, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang bertempat di TIEP.
Terdahulu, taklimat kejohanan telah disampaikan oleh Pengerusi Malaysian Armed Forces Centre (MAFEC), Brig Jen Dr Norazrin Shamsudin kepada setiap pelumba yang terlibat bagi memastikan peraturan kejohanan dapat difahami dan dipatuhi semua pasukan bertanding.

Hadir bersama dalam pasukan Ikhwan Endurance yang diketuai YBhg Tuan Adib At-Tamimi selaku Ketua Pegawai Penyelaras, Presiden RPU dan Presiden Ikhwan Equestrian GISBH adalah barisan kepimpinan RPU iaitu Tuan Hamdi Mohd Noor dan Tuan Reza Mahar.

Ikhwan Equestrian telah menghantar 10 penyertaan untuk kategori CEN 80km dan 11 penyertaan untuk kategori CEN 40km. Sebanyak 16 penyertaan dari 21 berjaya mencapai sasaran, terdiri dari 7 penyertaan untuk kategori CEN 80km dan 9 penyertaan untuk kategori CEN 40km.

Tuan Adib menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pertandingan ini di mana beliau hadir seminggu awal membuat latihan berkuda bersama pasukannya, untuk membiasakan kuda-kuda yang sebahagiannya baka Pure Arabian, dengan situasi persekitaran trek pertandingan.

Beliau juga membawa kuda miniature atau poney yang sesuai dinaiki oleh kanak-kanak sebagai latihan awal mereka menjiwai sukan sunnah Rasulullah ini.

Ternyata hal ini menjadikan tarikan utama segenap golongan apabila ramai pengunjung yang membuat permintaan untuk menaiki dan mengambil foto dengannya.

Walaupun tidak memenangi sebarang pertandingan, Tuan Adib mengatakan penyertaan ini menjadi laluan untuk sukan sunnah berkuda yang selama ini hanya dipelopori oleh golongan atasan dan orang-orang barat, untuk dijadikan budaya hidup masyarakat umum, khususnya orang Islam malah berupaya membina rohani dan jasmani seseorang.

Seterusnya program sedemikian mendedahkan RPU tentang pengalaman dan peluang berhubung dengan masyarakat, bertukar ilmu, mematangkan diri, mengajar mereka agar pandai meletakkan diri, bergaul dengan orang, membolehkan mereka mengenali pelbagai watak manusia.

Dalam program ini Tuan Adib sendiri mengambil kesempatan berbual mesra bertukar pandangan, menceritakan perkembangan Ikhwan Equestrian, mempromosikan Ikhwan Stud Farm sekaligus GISBH pada Brigedier Jeneral Dr Norazrin TUDM. Tn Adib juga berkongsi hasratnya ingin menjadikan Malaysia sebagai pusat pembiakan kuda baka Arab terbesar di dunia.

Komander Pengkalan Udara Subang itu berkata sepanjang penglibatannya dalam Endurance, beliau melihat Ikhwan Equestrian menampilkan contoh yang baik dari segi penampilan dan mempunyai kesungguhan dalam banyak sudut.

Beliau berhasrat sungguh ingin datang melawat PPIBCH, berminat menjalin hubungan dan menjemput wakil GISBH datang ke stablenya, malah beliau begitu teruja dan menyokong pembukaan Ikhwan Stud Farm di Bandar Ikhwan Gong Kulim seelok diberitahu mengenainya.

Semoga festival-festival sukan sunnah seumpama ini terus menjadi platform yang menghubungkan dan menyatukan manusia dari pelbagai golongan untuk bersilaturrahim, berkasih sayang, berkongsi pengalaman demi kebaikan masyarakat.

Views: 970

Reviews for Ikhwan Equestrian sertai Kejohanan Kuda Lasak Panglima Angkatan Tentera

There are currently no reviews for Ikhwan Equestrian sertai Kejohanan Kuda Lasak Panglima Angkatan Tentera
Scroll to top