SARAJEVO, 16.04.2023
Restoran Nur Malaysia Sarajevo dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Bosnia buat julung kalinya telah menganjurkan jamuan iftar (berbuka puasa) terbuka di dataran Bascarsija, di Kedutaan Besar Malaysia di Bosnia di sini semalam.
Turut sama dalam menjayakan program ini ialah pengasas CT-One Islamic Centre Malaysia, Dato’ Adnan Hashim serta para penyumbang individu dari kalangan warga tempatan dan juga Malaysia.
Program bersama masyarakat ini telah mendapat liputan akhbar oleh portal berita Avaz di mana portal berita ini ialah tapak web ketiga paling banyak dikunjungi di Bosnia dan Herzegovina, selepas Google dan YouTube.
Jamuan iftar ini mendapat sambutan meriah daripada masyarakat tempatan apabila jumlah yang menyertainya mencapai 350 orang termasuk keluarga staf Kedutaan Besar Malaysia di sini.
Warga tempatan kelihatan gembira berpeluang merasai juadah masakan Malaysia apabila dihidangkan dengan menu nasi tomato, ayam masak merah, jelatah, puding jagung, kurma dan air mineral.
Duta Besar Malaysia ke Bosnia, TYT Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin telah meluangkan masa untuk meninjau suasana sambutan program ini.
Keluarga Kedutaan Besar Malaysia juga turun tangan membantu menyediakan juadah di meja hidangan.
Moga program bersama masyarakat Bosnia seperti ini dapat diteruskan di masa akan datang untuk mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dan Muslim Bosnia kerana orang mukmin itu bersaudara.