ISTANBUL, 14.04.2023
Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali telah menganjurkan jamuan Iftar Ramadhan di restoran Nur Muhammad atau Nur Muhammad Lokantasi untuk meraikan Ketua Menteri (KM) Melaka, YAB Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh dan kenalan-kenalan rapat GISBH di sini baru-baru ini.
Nur Muhammad Lokantasi yang beralamat di Alemdar, Prof. Kazım İsmail Gürkan Cd. No:6, 34110 Fatih/İstanbul, Türkiye tidak jauh dari Masjid bersejarah Aya Sofia adalah salah sebuah daripada 123 rangkaian restoran GISBH di seluruh dunia.
Ketibaan YAB Ketua Menteri bersama rombongan seramai 13 orang pada jam 6.30 petang disambut sendiri oleh YDH Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH.
Sementara menunggu waktu berbuka puasa, YDH Tuan Nasiruddin mengambil peluang berbual panjang dengan para tetamu yang hadir.
Di antara kenalan rapat GISBH di kalangan warga Turkiye yang hadir ialah Mr Halil, Mr Ogus, Mr Ehsan dan Mr Ufuk dengan keluarganya.
Para tetamu dihidangkan dengan juadah yang sederhana tetapi menyelerakan seperti nasi putih, kambing golek, ikan cupra masak asam pedas, Ayam Sihat Ikhwan goreng, Puyuh Fateh goreng, pelbagai kuih-muih Melayu tradisional, bubur pulut hitam, kentang Corba Turki serta minuman air bandung dan teh O.
Datuk Seri KM ada bertanya berkenaan hidangan puyuh yang banyak samada GISBH mempunyai ladang ternakan puyuh di Turkiye. Bila dimaklumkan ia hanya ternakan di belakang kediaman staf GISBH, YAB Datuk Seri kelihatan teruja lebih-lebih lagi ia dijadikan menu di restoran.
Apabila YAB Datuk Seri bertanya perkembangan pilihan raya Turki yang akan datang, Mr Halil, kenalan Tuan PE yang berkhidmat di Istana Presiden Turkiye berkata, “Berkat doa Tuan Nasiruddin Mohd Ali, InsyaAllah Erdogan akan menang pilihan raya kali ini.”
Majlis Iftar atau berbuka puasa ini diadakan kerana YDH Pengerusi Eksekutif GISBH ingin meraikan YAB Ketua Menteri Melaka apabila mengetahui keberadaan beliau dan rombongan di Istanbul, Turkiye. Disamping itu YDH Pengerusi Eksekutif turut meraikan kenalan-kenalan GISBH di Turkiye.
Setelah berbuka puasa para semua yang hadir bersembahyang jemaah di surau yang disediakan diikuti dengan jamuan makan malam di dewan.
Para tetamu bersurai sebaik selesai menunaikan sembahyang tarawaih beramai-ramai.
Moga perhubungan GISBH dengan semua pihak dengan majlis Iftar seumpama ini menambah ukhuwah dan kasih sayang untuk menguatkan umat Islam dengan keberkatan bulan Ramadhan.