Jemputan Wakil GISBH ke Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Bosnia

Views: 10

SARAJEVO, 10.03.202
Duta Besar Malaysia ke Bosnia & Herzegovina, TYT Raja Saifful Ridzuwan bin Raja Kamaruddin telah menjemput wakil GISBH Bosnia, En Mohd Fateh Abdullah ke kediaman rasmi beliau yang juga pernah dikunjungi oleh Pengerusi Ekskutif GISBH, Tuan Nasiruddin Mohd Ali.

Ketibaan wakil GISBH bersama dua orang pengiring disambut mesra oleh TYT Duta dan isteri, yang berhajat menjamu staf-staf GISBH Bosnia, satu-satunya syarikat dari Malaysia yang sedang membina perniagaan restoran, perhotelan dan pertanian di Bosnia.

Antara perkara yang disentuh dalam perbualan tersebut ialah berkaitan perkembangan Terakhir di Ukraine dan juga situasi di Bosnia.

Menurut TYT Duta, setakat ini tiada apa-apa ancaman lagi di Bosnia tetapi tetap ada kebimbangan juga memandangkan tahun ni akan diadakan pilihanraya pada 2hb Oktober nanti. Ditakuti ada pihak yang akan mengambil kesempatan pada waktu itu untuk menimbulkan kekacauan.

Apabila En Fateh menyampaikan berita perkembangan perjalanan YDH Tuan Pengerusi Eksekutif dan wakil-wakil GISBH, khususnya penglibatan GISBH dalam misi bantuan kemanusiaan ke Afghanistan, TYT Duta menyebut sudah sampai masanya untuk GISBH di Bosnia juga muncul sebagai satu syarikat yang berperanan membantu masyarakat dan juga kerajaan.

Di sudut perniagaan pula, TYT Duta mencadangkan
GISBH berurusan terus dengan pihak JAKIM dan Veterinar Malaysia untuk mempercepatkan urusan pengeluaran AP import daging dari Bosnia malah beliau juga bersedia mengaturkan pertemuan antara GISBH dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Bosnia supaya mempermudahkan urusan-urusan yang berkaitan dengan import-eksport nanti. Beliau nampak GISBH bakal menjadi peneraju dalam urusan import eksport di sini.

Antara lain cadangan Duta untuk dipertimbangkan oleh GISBH ialah membangunkan cold storage di airport Sarajevo. Menurut beliau, ini antara keperluan dalam industri mengeksport daging yang belum ada di Bosnia. Untuk menguatkan lagi hubungan GISBH dengan kerajaan, GISBH boleh membangunkan projek atau aktiviti yang membuka peluang pekerjaan kepada warga tempatan. Ini akan lebih menonjolkan lagi peranan GISBH di sini.

TYT Duta juga telah meminta kerjasama GISBH untuk menyediakan beberapa juadah sempena jamuan rumah terbuka Syawal pada 7 Mei akan datang.

Moga hubungan baik GISBH dengan TYT Duta dan Kedutaan Besar Malaysia di Sarajevo akan memberi kesan positif kepada kedua belah pihak.

Views: 10

Reviews for Jemputan Wakil GISBH ke Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Bosnia

There are currently no reviews for Jemputan Wakil GISBH ke Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Bosnia
Scroll to top