KUALA LUMPUR, 7 September 2024,
Pengerusi Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd, YBhg Datuk Nasiruddin Mohd Ali mengatakan Syarikat GISBH sedang difitnah dengan cerita 30 tahun dahulu dihidupkan balik sedangkan isu tersebut telah selesai ketika menyampaikan ucapan di program Persidangan Meja Bulat di Dewan Besar Galaxy Ampang di sini hari ini.
Menurutnya, setelah mengadakan Ekspo Perdagangan dan Perlancongan Islam (IITTE) di Melaka yang berjaya menarik peserta dari 20 buah negara dan kehadiran 61 ribu pengunjung, GISBH ditohmah dan difitnah dengan dibawa cerita-cerita lama.
“Kalau betul hendakkan Islam, kenapa tak sokong apa yang dibuat?”, soalnya.
Beliau dan lebih 20 orang pimpinan GISBH menyertai lebih 500 orang dari pelbagai NGO menghadiri persidangan meja bulat kepimpinan NGO, NGI dan masyarakat fasa satu forum rakyat menghadapi isu-isu kecemasan tahap amaran merah.
Program anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia ini diisi dengan ucaptama daripada Datuk Nadzim Johan atau lebih dikenali sebagai Toqqi yang antara lain menyentuh peranan PPIM membantu rakyat yang yang buntu menghadapi masalah tanpa jalan keluar.
Selain itu terdapat beberapa orang penalis yang menyampaikan ucapan antaranya Dato Manaf Wahab dengan tajuk ‘Ancaman Ekonomi Riba’, Dato Fakhrunizam – ‘Ancaman Keselamatan Negara’, Dato Sri Asri Yusoff – ‘Ancaman Tekanan Terhadap Rakyat’, Prof. Dr. Mustafa Ali – ‘Polisi Kesihatan Yang Mengancam Rakyat’ dan Ustaz Masridzi – ‘Ancaman Terhadap Agama’.
Sesi petang pula diisi dengan persidangan meja bulat yang dibahagikan kepada 5 kluster dengan tajuk-tajuk yang di atas di mana para peserta membahaskan resolusi kluster masing-masing untuk tindakan sepakat bersepadu menangani kesan teruk yang sedang melanda ekonomi, sosial, keselamatan rakyat, hak pengguna, nasib peribumi dan rakyat jelata.