MARAWI CITY, 29 Mei 2024 – Konsul Jeneral (Consul General – CG) Malaysia, Tuan Deddy Faisal, bersama rombongan telah mengadakan lawatan rasmi ke Marawi City juga ke restoran GISBH, Cafe Nur Malaysia di New Capitol St, Marawi City, Lanao del Sur, di sini hari ini.
Ini adalah lawatan pertama beliau ke Marawi City sejak dilantik menjadi Konsul Jeneral Malaysia di Mindanao. Difahamkan Konsul-Konsul sebelum ini tidak ada lagi yang sampai ke Marawi City. Beliaulah Konsul Jeneral Malaysia pertama yang menjejakkan kaki di Marawi City.
Turut mengiringi beliau ialah isterinya, dua anaknya dan Tn. Ahmadulkuddus Husain, Konsul Malaysia di Davao dengan menyewa van yang menggunakan pemandu rakyat tempatan di Davao city.
Sepatutnya mereka dijangka sampai jam 12.00 tengahari tetapi berlaku kelewatan kerana pemandu van tersilap pilih jalan. Walaupun pemandu rakyat tempatan tetapi Marawi City bukanlah satu lokasi yang semua orang boleh sampai dengan mudah.
Ketibaan mereka disambut meriah oleh wakil-wakil GISBH termasuk Tn. Luqman Razali, Tn. Thariq Ziyad Ahmad dan lain-lain lalu dibawa ke kafe di tingkat atas.
Tn. Thariq menyampaikan salam dan ucapan selamat datang daripada YBhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH dan Ybhg Tn. Hj. Nik Hazani, Ahli Lembaga Penasihat GISBH kepada Tn. CG dan rombongan.
Tn. CG dan rombongan tertarik melihat pilihan menu yang disediakan, dan ingin mencuba pelbagai jenis hidangan seperti Roti Pisang Cheese, Nasi Goreng Kampung, Nasi Ayam Madu, dan pelbagai minuman seperti Teh Ais dan Milo Ais. Pihak kafe menambah hidangan buah mangga dan sate ayam.
Tn. CG dan rombongan berbual mesra dengan wakil-wakil GISBH mengenai perkembangan semasa dan perniagaan GISBH di Marawi City serta isu-isu semasa di Filipina.
Sebagai wakil rasmi kerajaan Malaysia, beliau sangat bertanggung jawab dan berminat untuk mempromosikan Cafe Nur Malaysia kepada rakyat Malaysia dan mencadangkan agar GISBH membuka sebuah restoran di Davao.
Selepas menikmati hidangan di kafe, rombongan Tn. CG dibawa ke satu lagi premis GISBH di Hilltop Marawi untuk menunaikan sembahyang dan minum petang.
Tn. CG mengagumi keindahan kawasan tersebut dan menyatakan hasrat agar GISBH segera membuka restoran dan Ikhwan Mart di Davao.
Dalam sesi minum petang, wakil GISBH berkongsi perkembangan GISBH di Filipina dan hasrat Tn. PE GISBH untuk memperkenalkan makanan halal serta cara hidup Islam kepada rakyat Filipina.
Sebelum berangkat pulang, Tn. CG menerima hadiah berupa produk pertanian dari GISBH dan beliau sangat menyokong usaha GISBH dalam mempromosikan produk halal di Filipina.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan dalam mempercepatkan urusan perniagaan GISBH di negara ini.
Lawatan ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama staf GISBH, menandakan bermulanya langkah pertama ke arah kerjasama positif wakil rasmi kerajaan dengan GISBH dalam usaha mempromosikan produk dan perkhidmatan halal Malaysia di Filipina.