Kedutaan Besar Malaysia Jordan tempah makanan di Restoran Nur Malaysia untuk Yang di-Pertuan Agong

Views: 44

AMMAN, 06.06.2023
Sempena lawatan khas 4 hari Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Jordan, Restoran Nur Malaysia Amman (RNMA), salah sebuah daripada 124 rangkaian restoran GISBH telah diminta oleh Kedutaan Besar Malaysia ke Jordan untuk menyiapkan juadah makanan untuk baginda baru-baru ini.

Kunjungan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
ke Jordan di atas persilaan Raja Jordan, Raja Abdullah II, bagi meraikan majlis perkahwinan anakanda baginda, Putera Mahkota Hussein bin Abdullah dan pasangannya Rajwa al-Seif di Istana Zahran, 1 Jun 2023 yang lalu.

Menurut Istana Negara, Seri Paduka berdua diiringi oleh anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Tiga orang staf RNMA berpeluang bertemu Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong di ruang lobi Hotel Sheraton ketika menghantar tempahan makanan.

Ketika melihat staf RNMA, Seri Paduka yang terkenal mesra rakyat terus menyapa, “Ikhwan ya?”

Sebaik bertemu, baginda terus bertanya mengenai keberadaan GISBH di Amman dan bagaimana sambutan yang diterima masyarakat tempatan dan antarabangsa.

En Mohd Hafiz Ulul Azmin, staf RNMA mengambil peluang menceritakan sambutan masyarakat terhadap RNMA dan menyampaikan salam Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali kepada baginda berdua.

Di antara tempahan menu yang disediakan RNMA termasuklah nasi putih, kari ayam, daging masak lemak, sambal sotong, ikan sweet sour, ulam-ulaman dan puding koktel.

Raja Permaisuri Agong mengucapkan terima kasih di atas kesudian RNMA menyediakan hidangan dan baginda berdua berpuas hati dengan juadah yang disediakan.

Semoga Restoran Nur Malaysia Amman kekal bukan saja sebagai tempat menjamu selera semua golongan bahkan menjadi wadah penghubung kemesraan, kasih sayang antara rakyat dan pemimpin.

Views: 44

Reviews for Kedutaan Besar Malaysia Jordan tempah makanan di Restoran Nur Malaysia untuk Yang di-Pertuan Agong

There are currently no reviews for Kedutaan Besar Malaysia Jordan tempah makanan di Restoran Nur Malaysia untuk Yang di-Pertuan Agong
Scroll to top