KUALA LINGGI, 05.09.2023
Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan EXCO Kerajaan Negeri telah melawat Sabak Arang, satu perusahaan mengeluarkan kayu arang daripada pokok bakau yang telah bekerjasama dengan GISBH dalam rangka lawatan beliau ke kawasan ekopelancongan Sungai Linggi di Paya Lebar di sini hari ini.
Ketibaan YAB Datuk Seri Ab Rauf dan rombongan disambut oleh Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Hj Nasiruddin Mohd Ali, pimpinan GISBH, Tuan Hj Mohd Fadhil Yasin, Puan Azura Mohd Yusof dan Hj Md Derus Maluddin, 80 atau Tuan Hj Darus, orang yang bertanggung jawab menguruskan projek kayu arang tersebut.
Turut bersama rombongan Ketua Menteri yang tiba dengan 13 buah bot ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Antara yang hadir juga, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Tpr Saifuddin Abdul Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM), Datuk Tpr Hj Murad Hj Husin serta pegawai-pegawai dari agensi kerajaan seperti pihak Polis, Bomba, UPE dan lain-lain.
Pihak GISBH telah menyiapkan 3 buah khemah lengkap dengan meja dan kerusi serta hidangan makanan untuk para tetamu yang hadir dengan hidangan utamanya Roti Canai B40 dengan setnya bersama Jus Buah Ikhwan yang sangat menarik perhatian semua.
Tuan Nasiruddidn Mohd Ali menyatakan GISBH komited untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Melaka menyiapkan produk pelancongan menarik di kawasan ekopelancongan Sungai Linggi dengan membangunkan premis perniagaan seperti kafe, premis produk hadiah dan cenderamata juga premis peralatan memancing.
Lebih menarik lagi, di situ terdapat sabak arang yang merupakan satu peninggalan sejarah kerana telah berusia lebih 100 tahun dan mengeluarkan arang daripada kayu bakau paling berkualiti di Asia Tenggara.
Tuan Hj Darus menyatakan proses untuk menghasilkan arang dari kayu bakau memakan masa selama 24 hari 24 malam dan beliau mendapat permintaan yang tinggi contohnya pernah ada permintaan dari Dubai untuk beliau sediakan satu kontena arang setiap dua hari untuk dihantar ke sana.
Seterusnya YAB Ketua Menteri dan rombongan melawat ke sabak arang untuk melihat sendiri bagaimana ia dihasilkan.
Kerjasama terbaik ialah jika pihak kerajaan negeri dapat menyiapkan semua prasarana yang sepatutnya dan GISBH pula menghidupkan aktiviti pelancongan dengan menarik seramai-ramai pelancong ke kawasan ini.
Dalam pada itu YAB Ab Rauf berkata pengunjung ke kawasan Sungai Paya Lebar bakal menikmati perkhidmatan dua ‘River Cruise’ yang akan mula beroperasi hujung tahun ini.
“Kawasan Paya Lebar ini juga akan dibangunkan lokasi glamping, yang mana akan menjadi tarikan kepada pelancong yang meminati aktiviti luar dan ini saya akan minta MPAG segerakan kemudahan yang diperlukan,” katanya.
Moga hasrat untuk menjadikan sabak arang ini pengeluar arang terbesar di selatan tanah air menjadi kenyataan sekaligus sebagai tempat kunjungan bersejarah memandangkan sabak arang berkenaan yang dikatakan dibina pada 1910-an.