MASJID TANAH, 05.04.2023
Ketua Menteri Melaka yang baharu, YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerima kunjungan rasmi Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan rombongannya di Dato Ab Rauf D’Villa, Kg Pulau di sini semalam.
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merupakan Ketua Menteri Melaka yang ke-13 dan beliau telah dilantik pada 31 Mac 2023 baru-baru ini menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Walaupun padat dengan pelbagai program dengan kepimpinan parti dan masyarakat, YAB Ketua Menteri tetap meluangkan masa mengalu-alukan kedatangan rombongan kepimpinan GISBH.
“Selamat datang ke Melaka, GISBH bukan orang lain bagi saya, rakan lama yang setia, saya dah lama dengan GISBH dan telah pergi ke GISBH di Perth dan Sydney. Pada saya, GISBH boleh pergi lebih jauh sebagai konglomerat Islam.”
Di majlis ini, YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH menceritakan perkembangan terkini GISBH termasuk misi Silaturrahim; Ziarah, Dakwah dan Tijarah GISBH dengan kenderaan motorhomes ke negara-negara Scandinivia.
Apabila berkongsi keberadaan GISBH di bawah pimpinan Tuan Nasiruddin Mohd Ali, anak jati Melaka di 17 buah negara, YAB Dato’ Seri Rauf berkata, “Saya nak beritahu orang Melaka ni cerdik macam Hang Tuah, hebat dan berani macam Hang Jebat, antara contohnya Tuan Chairmanlah.”
Tuan Pengerusi Eksektif menyatakan bahawa GISBH dan UMNO sama-sama bergolak dan diuji, yang hendak dicapai ialah gabungan kekuatan dua pihak antara perjuangan ekonomi Islam GISBH dan perjuangan politik Melayu UMNO untuk dirapatkan dalam membina kekuatan kerana sekarang adalah masa Islam naik.
“Peranan yang dimainkan oleh GISBH dalam mengimarahkan masyarakat dari sudut ekonomi amat baik, peranan yang dimainkan oleh UMNO dalam menguatkan kuasa orang Melayu pun baik, jadi kita dapat menggabungkan full of the resources dengan menyuburkan kesefahaman di antara kita.
“You have your role to play, i have my role to play, tapi kita mesti bergandingan, kita tak boleh berdiri sendiri, kena berdiri dengan yang lain untuk menguatkan kita, kalau ada seorang kanan, ada seorang kiri,” ujar Dato’ Seri Rauf.
Tuan Pengerusi menyatakan antara perkara besar yang GISBH sedang fokuskan ialah untuk membuat empayar ayam di mana GISBH telah persiapkan dari peringkat genetik lagi malah telah menjelaskan usaha ini kepada YAB PM dan akan berhubung dengan kementerian yang berkenaan.
Dato’ Ketua Menteri menyatakan sokongan beliau atas usaha-usaha GISBH dan bersedia memberi bantuan yang sewajarnya di peringkat negeri Melaka.
Di pertemuan ini juga YAB Ketua Menteri berpeluang menonton video profil GISBH terkini.
Pertemuan diakhiri dengan penyampaian cenderahati berupa produk GISBH dan sesi bergambar beramai-ramai.