BAGHDAD, 26.05.2024
Sudah menjadi tradisi dalam mana-mana ekspedisi GISBH untuk menziarahi makam para Nabi dan sahabat, wali-wali Allah dan alim ulama serta makam orang-orang soleh di setiap tempat yang dilawati.
Kluster Motorhome GISBH yang dalam perjalanan dari Mekah ke Melaka sempena International Islamic Trade & Tourism Expo (IITTE ‘24) telah merentasi negara Iraq turut mengambil kesempatan menziarahi makam Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani yang terletak di tengah bandaraya Baghdad.
Beliau merupakan seorang ulama wali Allah besar di zamannya serta mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia hingga ke hari ini.
Makam yang sentiasa dipenuhi pengunjung itu dibina dengan senibina yang cukup indah dan teliti, ia turut dikawal rapi oleh pihak tentera Iraq bagi memastikan keselamatan para pelawat.
Bersebelahan dengan makam tersebut, terdapat satu ruang kecil yang merupakan tempat berkhalwat Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani semasa hidup beliau.
Kluster motorhome juga berkesempatan melaksanakan solat Zohor di Masjid Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani yang terletak di dalam perkarangan kompleks pengajian beliau.
Kompleks tersebut telah dibaikpulih oleh Mimar Sinan, seorang arkitek terkemuka Turkiye di zaman Kesultanan Uthmaniah dahulu.
Selain masjid, terdapat juga madrasah dan perpustakaan yang terus menyambung legasi keilmuan beliau hingga kini.
Seterusnya, Kluster Motorhome bergerak menuju ke makam Pengasas Mazhab Hanafi, Syeikh Imam Abu Hanifah atau nama sebenarnya Nukman bin Tsabit yang terletak kira-kira 8 km daripada makam Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani.
Makam beliau yang dibina di dalam, di bahagian tepi masjid, turut dikawal rapi oleh pihak tentera Iraq untuk memastikan keselamatannya terjaga memandangkan ia sentiasa dikunjungi ramai orang.
Makam pendiri mazhab Fekah tertua yang mempunyai pengamal terbesar di dunia ini kelihatan sangat indah dan berseni dengan ukiran yang halus, turut dibiaya baik pulihnya oleh kerajaan Turkiye.
Di kesempatan ini, Kluster Motorhome Ikhwan juga telah melaksanakan solat maghrib di masjid Imam Abu Hanifah dan kemudian bermesra dengan jemaah yang hadir.
Jemaah yang ditemui kelihatan teruja setelah mengetahui rombongan ini berasal dari Malaysia, bahkan ada yang memuji sikap baik rakyat Malaysia yang mereka temui sewaktu menunaikan ibadah Haji.
Dengan menziarahi makam para ulama dan wali Allah tersebut, Kluster Motorhome Ikhwan mengharapkan agar dapat meniru jiwa dan kesungguhan mereka dalam memperjuangkan Islam hingga dijadikan panduan dan cara hidup yang menggamit ribuan pengunjung menziarahi mereka walaupun telah lama meninggal dunia.
Di samping itu juga dengan bertegur sapa dan beramah mesra dengan masyarakat tempatan, anggota rombongan misi Silaturrahim; Ziarah, Dakwah dan Tijarah yang dirancang oleh Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali ini, dapat memperkenalkan dan mempromosi negara Malaysia kepada mereka.
Moga Allah selamatkan perjalanan mereka hingga sampai ke tanah air untuk berkongsi pengalaman menarik sepanjang perjalanan yang bersejarah ini.