Kluster Motorhomes GISBH Melaksanakan Ibadah Korban Di Albania

Views: 4

TIRANA,09. 07.2022
Kluster Motorhomes (KM) GISBH, terdiri dari team Remaja Pembela Ummah (RPU), yang sedang mengikuti ekspedisi Jelajah Balkan Eropah Scandinivia berpeluang melaksanakan ibadah korban sempena hariraya Aidiladha bersama penduduk tempatan di sebuah perkampungan bernama Budull di sini, baru-baru ini.

Budull adalah sebuah perkampungan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kruje dalam Wilayah Dures, Albania. Kruje merupakan antara bandar penting di wilayah ini yang terletak kira-kira 20 km ke utara Tirana, ibu negara Albania.

KM GISBH diketuai oleh Tuan Muhammad Nafi’ Nasiruddin bersama seorang kenalan GISBH rakyat tempatan bernama Imam Fatmir dari Masjid Ahmetaq, Tirana, telah membeli 3 ekor kambing biri-biri dengan harga 250 Euro seekor bersamaan RM1130, pada hari Jumaat, sehari
sebelum Aidiladha. Kambing itu milik saudara Abbas, dan 2 orang anak saudaranya, Abid dan Adil. Menurut saudara Imam Fatmir, majlis penyembelihan akan diadakan berhampiran kediaman saudara Abbas di Budull.

KM GISBH telah diberi kepercayaan penuh untuk menguruskan kerja-kerja penyembelihan dan melapah daging korban. Mereka membeli semua peralatan untuk menjalankan ibadah korban seperti pisau dan lain-lain, bagi memastikan kerja-kerja penyembelihan berjalan lancar dan daging-daging korban dapat diagihkan dengan sempurna.

Pada pagi Aidiladha, tepat jam 6 pagi, KM GISBH direzekikan dapat bersama-sama dengan masyarakat Albania bersembahyang sunat Aidiladha di Masjid Preze, terletak tidak jauh dari Budull.
Masjid ini telah dibina oleh Kerajaan Uthmaniyah pada awal abad ke-14 di tapak Istana Preze, sebaik dapat ditawan.

Suasana masyarakat Islam di sini sangat jauh daripada cara hidup Islam sebenar, bahkan hendak melihat orang berjubah dan berkopiah pun, bagaikan mencari gagak putih. Manakala muslimahnya pula hanya segelintir yang menutup aurat, dan hanya menyaksikan para jemaah bersolat dari jauh.

Setelah selesai menunaikan solat sunat Aidiladha, rombongan ekspedisi KM GISBH bersalaman dan beramah mesra dengan para jemaah serta bergambar kenangan bersama.
Selepas itu mereka bersiap-siap ke kampung Budull. Setiba rombongan di destinasi pada jam 10.30 pagi, mereka memasang khemah dan menyediakan segala peralatan untuk menjalankan ibadah korban.
Pihak tuan rumah juga sangat meraikan tetamu dengan membantu menyediakan peralatan sembelihan dan melapah daging. Beliau sangat mesra dan bersedia membantu semua kerja hingga selesai.

Kerja-kerja penyembelihan dapat diselesaikan pada jam 5:00 ptg. Sebahagian ahli rombongan turut serta bersama Imam Fatmir untuk mengagihkan daging-daging korban kepada masyarakat, antaranya kepada orang yang rajin ke masjid tapi sudah uzur, orang yang kehilangan ahli keluarga, fakir miskin dan lain-lain.
Mereka sangat berterima kasih kepada team ekspedisi KM GISBH dan menghadiahkan buah-buahan dan pelbagai manisan.

Menurut Imam Fatmir, orang-orang Islam di Albania, hampir semua minum arak, kecuali yang menjaga sembahyang lima waktu sahaja. Mereka mengaku beragama Islam, tapi di sudut pengamalan Islam mereka sangat jauh daripada ajaran Islam sebenar. Sistem pemerintahan sekularisme telah membelenggu mereka, yang menyebabkan mereka jauh daripada amalan kehidupan Islam. Justeru kepimpinan GISBH merasa bertanggungjawab dan mengatur KM GISBH berekspedisi dan bersilaturrahim ke negara-negara Balkan ini sambil mempamerkan syiar Islam yang indah dan syumul.

Albania merupakan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam iaitu sekitar 70 peratus dari 3,6 juta orang penduduk. Statistik tersebut menjadikannya sebagai negara Eropah satu-satunya yang majoriti penduduknya muslim. Negara ini terletak di Eropah tenggara, ia bersempadan dengan Montenegro di sebelah utara, Serbia (Kosovo) di timur laut, Republik Macedonia di timur, dan Greece di selatan.

Islam datang ketika Kerajaan Uthmaniyah menguasai kawasan itu antara 1385-1912. Selama masa ini, kebanyakan penduduk masuk Islam dan berhijrah ke Itali, Yunani (Greece), Mesir dan Turki. Di sebelah utara, penyebaran Islam di negara ini telah mendapat kemerdekaan dari kerajaan Islam Uthmaniyah pada tahun 1912. Selama masa kepimpinan Khalifah Uthmaniyah yang panjang, sebahagian penduduk Albania memeluk Islam, manakala sebahagian minoriti tetap menganut Kristen Ortodoks dari negara jiran Yunani (Greece) ketika itu.

Semoga apa yang dicetuskan oleh kepimpinan GISBH ini, dapat memberi sesuatu yang sangat berharga kepada mereka iaitu dapat menghidupkan dan menyuburkan kembali jiwa Islam dihati mereka dan suasana kehidupan Islam kembali mengiasi bumi Albania ini.

Views: 4

Reviews for Kluster Motorhomes GISBH Melaksanakan Ibadah Korban Di Albania

There are currently no reviews for Kluster Motorhomes GISBH Melaksanakan Ibadah Korban Di Albania
Scroll to top