Kumpulan nasyid Generasi Ummah Jelebu juara pertandingan nasyid Festival Kesenian Islam

Views: 14

SEREMBAN, 17.08.2022
Kumpulan nasyid Generasi Ummah dari Pusat Latihan Akhlak Mulia Ikhwan (PLAMI) Jelebu, telah menjuarai pertandingan nasyid di Festival Kesenian Islam, di sini, baru-baru ini.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Luar Bandar dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu disertai oleh lapan kumpulan nasyid KEMAS dari lapan kawasan parlimen, antaranya Rembau, Jelebu, Jempol, Port Dickson, Kuala Pilah dan Paroi.

Majlis yang diadakan di Kompleks Dakwah Islam Seremban itu dirasmikan oleh Ybhg Dato’ Mohammad Yasin bin Bidin, Ketua Pengarah KEMAS Malaysia.

Kumpulan nasyid Generasi Ummah yang juga mewakili KEMAS parlimen Jelebu, telah mempersembahkan dua buah nasyid bertajuk ‘Tangisilah Dosa’ dan ‘Muda Mudi Pengganti Generasi’ dengan diiringi persembahan silat.

Majlis yang bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir jam 5.00 petang itu turut di meriahkan dengan pertandingan Da’ie dan Tilawah serta ceramah sempena 10 Muharram yang disampaikan oleh Ustaz Hj Nor Azamir b. Hj Alias, Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Selain gerai-gerai jualan yang menjual berbagai jenis barang, para pengunjung turut dijamu dengan sarapan pagi dan makan tengahari.

Menurut ketua juri, antara faktor kumpulan Generasi Ummah dari Jelebu ini dinobatkan sebagai johan adalah kerana kreativiti yang ditonjolkan iaitu diiringi persembahan silat, lagu-lagu nasyidnya pula disifatkan sebagai “Fresh, memiliki music minus one yang baik dan ada kelainan”.

Ekoran dari kemenangan ini, kumpulan nasyid Generasi Ummah telah menerima tawaran membuat persembahan dari beberapa individu.

Semoga bukan sekadar kumpulan nasyid Generasi Ummah terus berpeluang menyampaikan mesej Islam melalui bidang seni dan hiburan malah mereka sendiri terdisiplin dengan syariat dan akhlak Islam, agar layak menjadi suri teladan kepada umat Islam khususnya seluruh para remaja.

Views: 14

Reviews for Kumpulan nasyid Generasi Ummah Jelebu juara pertandingan nasyid Festival Kesenian Islam

There are currently no reviews for Kumpulan nasyid Generasi Ummah Jelebu juara pertandingan nasyid Festival Kesenian Islam
Scroll to top