KUALA LUMPUR, 28.06.2022
YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, CEO GISBH telah mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Hj Mohd Rashid bin Hasnon di pejabat beliau di bangunan Parlimen di sini semalam.
Walaupun agak sibuk kerana membuat persiapan terakhir untuk berangkat ke Azerbaijan atas urusan kerja, YB Dato’ Hj Mohd Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat telah meluangkan masa yang panjang bersama Dato’ Lokman Hakim.
Di pertemuan tersebut, CEO GISBH sempat bertukar-tukar pandangan serta menyampaikan perkembangan semasa perniagaan GISBH lebih-lebih lagi di luar negara di mana GISBH mempromosi Malaysia melalui pelbagai aktiviti khususnya di bidang restoran dan katering serta pelancongan.
GISBH tidak asing bagi Dato’ Timbalan Speaker kerana beliau pernah membantu urusan perlesenan Kilang Ayam Ikhwan di Lahar Yooi ketika menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang.
YB Dato’ Mohd Rashid juga pernah berkunjung ke restoran Nur Malaysia Tashkent, salah sebuah daripada rangkaian restoran GISBH sewaktu berkunjung ke Uzbekistan suatu masa dahulu.
Dalam kunjungan tersebut, YB Dato’ Rashid sempat membawa Dato’ Lokman melawat ke sekitar bangunan parlimen serta bertemu para pegawai yang bertugas dan makan tengahari bersama. Turut hadir ialah Datuk Nor Hayati Awang, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia.
Moga dengan pertemuan ini akan disusuli dengan pertemuan yang lain dan seterusnya mengadakan kerjasama yang sesuai antara GISBH dengan pihak YB Dato’ Mohd Rashid demi kepentingan masyarakat dan negara.