MEKAH, 17.07.2022
Satu rombongan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka atau Exco Negeri Melaka yang diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan bin Hj Othman telah tiba ke Restoran Nur Malaysia Mekah, salah sebuah dari dua restoran GISBH di Tanah Haram untuk bersarapan di sini, hari ini.
Turut hadir bersama beliau ialah, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan, Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Rais Datuk Wira Yasin, Penyelaras Japerun Ayer Keroh, Datuk Hj. Mohd Ariff Yusa dan Mantan Pengarah JPS Negeri Selangor, Datuk Ir. Gapar Bin Asan.
Rombongan yang bercadang untuk bersarapan di Restoran Nur Malaysia Mekah dan telah membuat tempahan makanan, diraikan oleh Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali sebagai tetamu GISBH bukan sebagai pelanggan.
Tetamu-tetamu seramai 10 orang bersama isteri masing-masing berada di tanah suci Mekah kerana menunaikan ibadah haji tahun ini.
Turut serta meraikan mereka ialah Ahli Lembaga Penasihat GISBH, YBhg Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman, Pegawai Tadbir Syarikat GISBH, Tuan Azri Yunos dan seorang ahli perniagaan kenalan GISBH, Dato’ Marzuki Ramli.
Gembira dan berbangga dengan usaha Tuan Nasiruddin Mohd Ali yang juga anak Melaka, berjaya membuka perniagaan di Mekah, di kalangan tetamu ada yang ingin membawa TYT, Ketua Menteri Melaka berkunjung ke Restoran Nur Malaysia Mekah ini.
YBhg Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH pula menjemput dan mengalu-alukan mereka dan seluruh rakyat Melaka yang berada di Tanah Suci untuk melawat satu lagi projek GISBH di Saudi iaitu Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah (WBDIH) di mana terdapat haiwan-haiwan kesayangan Rasulullah SAW seperti unta, kuda dan kambing, sukan sunnah berkuda dan memanah juga chalet penginapan.
Selesai bersarapan, para tetamu dibawa ke ruang ‘Julus Arabi’ dan diadakan sesi bergambar.
Semua tetamu juga berpeluang melawat motorhome milik GISBH di hadapan restoran dan mereka merasa kagum dengan rekabentuknya yang moden dan kemasan dalamannya yang selesa dan menarik hingga ada yang berhasrat untuk menyewanya.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai di hadapan Restoran Nur Malaysia Mekah dan motorhomes GISBH.
Moga dengan pertemuan sesama rakyat Malaysia di bumi Mekah yang sangat berkat, di premis perniagaan rakyat Malaysia sendiri, akan menambahkan rasa ukhuwah dan kasih sayang hingga boleh bekerjasama untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.