Kunjungan ALP GISBH ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand

Views: 3

SONGKHLA, 13.04.2023
Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH, YDH Tuan Ahmad Anuar Abd Rahman dan rombongan telah melakukan kunjungan hormat ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand, YBhg Tuan Muhammad Ridzuan bin Abu Yazid di Konsulat Malaysia di sini baru-baru ini.

Turut mengiringi YDH Tuan Anuar, Tuan Aminuddin Sani, Pengarah GISBH Zon Thailand, Tuan Johari Morad, Pegawai Tadbir Syatikat dan 7 orang staf yang lain.

YBhg Tuan Muhammad Ridzuan memperkenalkan diri sebagai Konsul Jeneral Malaysia ke atas 14 wilayah di selatan Thailand dan mengalu-alukan kedatangan rombongan daripada GISBH juga mengharapkan semua yang hadir di dalam pertemuan ini mendapat keberkatan Ramadhan yang mulia.

Di pihak GISBH pula, Tuan Anuar berterima kasih atas sambutan pihak Konsulat dan menjelaskan beliau mewakili YDH Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH yang berada di Dubai untuk meneruskan misi Silaturrahim, Ziarah, Dakwah dan Tijarah di Thailand.

Di selatan Thailand, GISBH telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak seperti Tuan-tuan Guru Pondok, ahli-ahli korporat, pihak berkuasa tempatan dan pihak keselamatan.

YDH Tuan Anuar meminta izin untuk menayangkan video profil syarikat GISBH yang terkini kepada YBhg Tuan Konsul dan seterusnya menyerahkan booklet Misi Silaturrahim, Ziarah, Dakwah dan Tijarah di Selatan Thailand Tuan Pengerusi GISBH baru-baru ini yang diteliti oleh beliau setiap helaian muka suratnya.

Dalam memberikan saranan dan nasihat keselamatan, YBhg Tuan Konsul Jeneral meminta supaya apa-apa program besar tidak dibuat di bulan Mei ini dan dianjakkan ke bulan Jun kerana akan bertembung dengan pilihan raya Thailand yang mana ditakuti kemungkinan ada pihak-pihak tertentu akan mengambil kesempatan jika ada perhimpunan besar-besaran.

Ini adalah kerana banyak berlaku sebelum ini, walaupun keadaan hidup masyarakat di sini aman damai tetapi kekacauan boleh berlaku bila-bila masa dan di mana jua tanpa amaran awal.

Beliau juga berpesan supaya pihak GISBH tidak masuk campur dan berpihak dalam pilihan raya di sini kerana ia akan memberi kesan negatif jika tersalah pilih kawan.

YBhg Tuan Konsul juga bertanya tarikh pembukaan rasmi Restoran Ikhwan Delight di Pattani yang sedang dalam proses ubah suai dan menyarankan agar diperbanyakkan menu masakan tempatan kerana majoriti orang Pattani lebih memilih masakan tempatan dari menu luar.

Berkaitan dengan dagangan dua negara, YBhg Tuan Konsul Jeneral menjelaskan ia melibatkan nilaian di antara USD26-27 bilion dan 60-70% perniagaan tersebut adalah perdagangan di sempadan.

Oleh kerana itu beliau menyarankan GISBH membawa masuk banyak barang jualan ke sini khususnya produk makanan yang mendapat halal JAKIM kerana Malaysia mempunyai standard halal yang diiktiraf dunia.

YBhg Tuan Konsul yakin jika sesuatu produk itu berjaya dipasarkan di sini, ia akan berjaya dipasarkan ke pasaran yang lebih besar seperti di Dubai dan Beijing tetapi pembungkusannya mesti menarik dan produknya mampu bersaing.

Pertemuan diakhiri dengan penyampaian cenderahati berupa plak cawangan GISBH seluruh dunia dan hamper produk-produk GISBH serta bergambar beramai-ramai.

Moga perhubungan yang baik di antara pihak GISBH dengan Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla akan memberi manfaat kepada kedua belah pihak.

Views: 3

Reviews for Kunjungan ALP GISBH ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand

There are currently no reviews for Kunjungan ALP GISBH ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand
Scroll to top