MEKAH, 23.04.2023
Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali mengetuai rombongan 27 orang staf GISBH melakukan kunjungan balas terhadap rakyat Malaysia yang bermastautin di Mekah di dewan atau Solah Alhan di sini hari ini.
Beliau diiringi oleh pengurusan tertinggi syarikat iaitu YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, Ketua Pegawai Eksekutif, YDH Tuan Hasnan Abdul Hamid, Ketua Pegawai Operasi, Tuan Fadhil Yasin, Tuan Ahmad Anuar Abd Rahman, Tuan Nik Hazani Nik Muhammad, Puan Azura Mohd Yusof dan para pimpinan RPU serta staf GISBH.
Terdahulu, telah datang ke jamuan Aidil Fitri anjuran GISBH di Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah (WBDIH) di Hari Raya pertama, kenalan GISBH yang merupakan keturunan rakyat Malaysia yang bermastautin di Saudi khususnya di Mekah.
Keturunan mereka berasal dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di mana datuk atau ayah mereka berhijrah ke sini dan terus tinggal di sini, sebahagiannya berkahwin dengan orang tempatan yang mana generasi ketiga dan keempat sudah tidak mampu berbahasa Melayu malah telah menjadikan budaya Arab Saudi cara hidup mereka.
Tuan Pengerusi Eksekutif dan rombongan disambut oleh sebahagian daripada keluarga Melayu Kedah Perlis ini dan ditempatkan di sebuah dewan besar dengan julus Arabi dengan sambutan kopi Arab, manisan Arab dan buah kurma sambil menunggu semua jemputan.
Program ini adalah pertemuan tahunan mereka sebanyak 50 keluarga menggantikan program ziarah rumah ke rumah yang tidak dapat dilakukan kerana kesuntukan masa.
Hampir semua mereka hanya mampu bertutur beberapa ayat dalam bahasa Melayu seperti, “Selamat Hari Raya,” dan “Apa khabar?” malah Ada yang langsung tidak memahami bahasa asal mereka dan hanya beberapa orang sahaja yang boleh berbual-bual dalam bahasa Melayu.
Mereka yang hadir ke jamuan Aidil Fitri di WBDIH sangat mengkagumi kehadiran GISBH di bumi Haramain khususnya YDH Tuan Pengerusi Eksekutif yang bercita-cita besar membangunkan sebuah pusat peranginan Islam gabungan nuasa alam Melayu Malaysia dan suasana kehidupan di zaman Rasulullah SAW.
Majlis di dewan ini dihiasi dengan dendangan nasyid bahasa Arab dan Melayu oleh para RPU sementara menunggu kedatangan para hadirin yang hanya penuh di pertengahan malam.
Jamuan menu masakan India, nasi Qubooli kambing, sambal tomato, yogurt dan minuman gas dihidang pada jam 1.12 pagi dan majlis bersurai selepas jamuan.
Sebelum berpisah seluruh yang hadir bergambar beramai-ramai, bersalam-salaman penuh mesra dan mereka mengharapkan agar GISBH dapat terus hadir di tahun-tahun akan datang.
Moga dengan adanya hubungan di antara GISBH dengan masyarakat Melayu di sini akan menambah kemesraan yang membuahkan kerjasama untuk manfaat untuk umat Islam.