RAWANG, 17.10.2023
Cicit kepada Duli Yang Maha Mulia, Sultan Abdul Hamid II, Khalifah terakhir Empayar Uthmaniah, Putera Abdulhamid Kayihan Osmanoglu telah mengunjungi Pusat Perniagan Ikhwan Bandar Country Homes (PPIBCH) untuk bertemu dengan YBhg Tuan Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif (PE) GISB Holdings Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Beliau yang datang bersama 12 anggota rombongan dari Ottoman Ulu Cinar Foundation, satu pertubuhan yang berpusat di New York pimpinan Syeikh Lokman Efendi yang memperjuangkan Warisan Empayar Uthmaniah ini ingin mengenali lebih lanjut mengenai aktiviti perniagaan GISBH dan perjuangannya.
Mereka diberikan sambutan meriah di PPIBCH bermula dengan diiringi 9 buah motor berkuasa tinggi dari RPU Bikers sejak keluar di Tol Rawang hingga ke PPIBCH.
Di pintu masuk PPIBCH, rombongan Putera Abdulhamid Kayihan disambut oleh 6 orang daripada Pasukan Berkuda Ikhwan Equestrian lengkap berpakaian perang tentera Uthmaniah diketuai oleh Tuan Muhammad Adib At-Tamimi, Presiden Remaja Pembela Ummah (RPU), sayap belia GISBH, diiringi melalui deretan pelajar dan pimpinan RPU di kiri kanan jalan dengan kibaran bendera Malaysia dan Turkiye hingga ke Pejabat Pentadbiran PPIBCH.
Rombongan disambut oleh PE GISBH dan para Ahli Lembaga Penasihat (ALP) juga tetamu jemputan, Mantan Ahli Dewan Negara, Datuk Dr. Ras Adiba Mohd Radzi dan Peguam Korporat GISBH Dato’ Andri Aidham Badri dan dibawa masuk ke ruangan khas yang disediakan untuk sesi taaruf. Semua tetamu kagum dengan pengamalan poligami dalam GISBH dan anak-anak dalam GISBH khasnya cucu-cucu Tuan Nasiruddin sendiri dinamakan mengambil keberkatan tokoh-tokoh di zaman Uthmaniah seperti Hj. Bayram, Somenchu Baba, Shamsuddin Al-Wali, Muhammad Al-Fateh dan lain-lain.
Setelah itu rombongan dibawa melawat bilik khazanah barang-barang berkat peninggalan Rasulullah SAW di mana terdapat juga di sana replika mangkuk baginda bersama sanadnya dan replika rumah baginda yang dihadiahkan kepada Tuan PE oleh Dr. Abdul Aziz Ka’ki, pemilik Muzium Darul Madinah.
Seterusnya para tetamu dibawa ke ibu pejabat baru GISB Holdings Sdn. Bhd. di mana diadakan tayangan profil GISBH kepada mereka juga persembahan Hadrah daripada Generasi Harapan, pertunjukan seni silat daripada Ikhwan Matrial Art dan nasyid dalam Bahasa Turkiye dari En. Lokman Nizam, Setiausaha GISBH Turkiye dan kanak-kanak sekolah rendah.
Setelah itu rombongan dijamu dengan juadah makan tengahari nasi mandy dengan sup kambing, kambing bakar bawah tanah, ayam goreng Ayyam Sihat Fateh, lemang dan rendang daging dan lain-lain sambil terus berbual pelbagai topik. Menurut salah seorang dari mereka inilah sambutan rasmi besar-besaran kali pertama mereka terima di Malaysia.
Setelah makan tengahari, program disambung dengan dialog antara Ottoman Ulu Cinar Foundation dengan GISBH di mana beberapa soalan dikemukakan oleh tetamu antaranya adakah ada halangan dari pihak berkuasa untuk GISBH membuka pendidikan rasmi di Malaysia dan dijawab oleh Pengerusi Eksekutif, tiada halangan selagi mana memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Di akhir pertemuan, YM Putera Abdulhamid Kayihan Osmanoglu memberi ucapan penutup yang antara lain mengatakan;
“Terima kasih banyak-banyak kepada Tuan Chairman atas jemputan ini. Syeikh Nasir membawa kami kembali ke zaman Uthmaniah yang sebelum ini hanya dirasai ketika berada di Dergah Syeikh Lokman Efendi di Amerika Syarikat. Kalau ada rezeki nak bawa Syeikh Nasir ke sana.
“Sudah lima kali saya ke Malaysia, ada satu kekurangan di sini iaitu tidak terdapat khazanah warisan peninggalan Uthmaniah di sini. Saya dengan Ottoman Ulu Cinar Foundation untuk mewujudkannya di sini.
“Di seluruh dunia banyak orang mendakwa memiliki warisan peninggalan Uthmaniah tetapi 99% daripadanya adalah palsu kerana tidak dapat dari sumber asli.
“Kami ingin membawa semua orang memahami hubungan Empayar Turkiye Uthmaniah dengan Tanah Melayu sejak dahulu lagi,” ujar beliau.
Putera Abdulhamid Kayihan Osmanoglu juga sebenarnya sangat terharu dengan Tuan Pengerusi Eksekutif, para ALP dan warga GISBH yang keluar beramai-ramai menyambut rombongan, begitu juga melalui video GISBH, beliau terharu kerana banyak sungguh Tuan Nasiruddin dan GISBH lakukan untuk ummah dan keakraban dengan Turkiye, para Syeikh dan telah menziarahi makam-makam para Aulia Allah di sana.
Majlis diakhiri dengan penyampaian plak, hadiah dan cenderahati berupa hamper barang-barang keluaran GISBH kepada para tetamu.
Moga Allah berkati pertemuan ini, seterusnya membuka ruang untuk kedua pihak memulakan bekerjasama dalam pelbagai bidang yang memberi keuntungan kepada kebangkitan Islam di seluruh dunia khasnya di Turkiye dan Malaysia.