PUTRAJAYA, 15.04.2023
Rombongan kepimpinan GISBH diketuai oleh YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten Abdul Rahim telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu di pejabat beliau di sini semalam.
YH Dato’ Lokman Hakim yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH diiringi oleh YDH Tuan Hasnan Abdul Hamid, Ketua Pegawai Operasi GISBH, Tuan Fadhil Yasin, Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman, Ahli-ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH,
bersama 4 orang pegawai dan rakan kongsi dalam projek penternakan ayam secara integrasi, Dato’ Marzuki Ramli, manakala hadir bersama Menteri Pertanian pula Senator Dr Ras Adiba Radzi.
Di awal pertemuan, YB Menteri menyatakan Kementerian Pertanian menjadi buah mulut di kalangan rakyat memandangkan krisis makanan telah menjadi fenomena di seluruh dunia khasnya kerana perubahan cuaca ditambah lagi dengan peperangan.
Beliau juga mengatakan, penternakan ayam memerlukan bahan asas untuk membuat makanannya iaitu kacang soya dan jagung bijirin (grain corn) yang mana ianya diimport dari Brazil dan Argentina tetapi telah dimulakan tanamannya di Perlis.
“Kita amat mengharapkan tidak berlaku peperangan khasnya antara Taiwan dan China kerana ia akan memberi kesan negatif dari pelbagai sudut terutamanya di bidang pertanian dan keterjaminan makanan,” kata beliau lagi.
YB Menteri sedia maklum keterlibatan GISBH dalam industri makan dan pemakanan kerana beliau pernah mengunjungi rangkaian restoran Ikhwan seperti di Perth, Frankfurt, Istanbul, Chiang Mai, Bangkok, Hadyai dan lain-lain.
“Ikhwan juga mempelopori penyembelihan dan penyediaan makanan yang halalan toiyiban,” ujarnya lagi.
YH Dato’ Lokman Hakim menerangkan kepada YB Menteri berkenaan projek ternakan ayam Ikhwan khasnya Ayam Sihat Ikhwan yang bebas vaksin dan antibiotik dengan menggunakan teknologi enzim. Ianya berupaya menurunkan kadar lemak ayam kepada 0.1%, manakala kualiti dagingnya seperti ayam kampung tetapi tempoh kematangannya hanya 32 hari.
Dato’ Marzuki pula memaklumkan perkembangan perhubungan GISBH dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara sebagai persiapan untuk melaksanakan projek ternakan ayam ini.
YB Menteri Pertanian menyatakan sokongan penuh beliau terhadap projek ini malah menyarankan agar dibuat secara besar-besaran kerana ia bukan sahaja Fardhu Kifayah malah menjadi keperluan semua.
“Saya berkeyakinan kawan-kawan dari Ikhwan boleh buat semua ini kerana memang sudah ada track rekod yang panjang dalam membangunkan industri halal negara. Di mana sahaja saya pergi ada cawangan Ikhwan, seperti di Bangkok, Istanbul dan lain-lain,” kata YB Datuk Menteri.
Program diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai sebelum bersurai.
Moga apa yang dihasratkan oleh Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali untuk GISBH membina empayar ayam benar-benar segera menjadi kenyataan.
Ia bagi memastikan daging ayam yang dibekalkan kepada masyarakat umat Islam benar-benar halal kerana dari makananlah akan membentuk hati dan peribadi seseorang.