Kunjungan Hormat Pengerusi Eksekutif GISBH ke atas YDP Majlis Agama Islam Pattani

Views: 429

PATTANI, 1 September 2024 – Pengerusi Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd, YBhg Datuk Hj. Nasiruddin Mohd Ali, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani (MAIP), Dr. Abdul Rahman Daud, di pejabat MAIP di sini hari ini.

Dalam kunjungan tersebut, Datuk Nasiruddin diiringi oleh Ahli Lembaga Penasihat Muslimah GISBH, Datin Azura Mohd Yusof; Ketua Muslimah GISBH, Datin Ummu Mubarokah Ashaari; Ketua Pengarah Pentadbiran GISBH, Tn. Hj. Shukri Mohd Noor, serta rombongan seramai 50 orang yang terdiri daripada lelaki dan wanita.

Pihak MAIP pula diwakili oleh Dr. Abdul Rahman Daud yang diiringi oleh Dr. Hj. Shihabuddin Walung, Timbalan YDP Bahagian Pelajaran; Hj. Makmun Daud, Timbalan YDP Bahagian Syara’; Hj. Zakaria Ahmad, Timbalan YDP Bidang Ekonomi, serta Setiausaha MAIP, Che Nuji Hj. Mustafa.

Dr. Abdul Rahman mengalu-alukan kehadiran Datuk Nasiruddin dan rombongannya serta memperkenalkan barisan Ahli Jawatankuasa MAIP. Beliau menekankan pentingnya pertemuan ini kerana kedua-dua pihak berkongsi hubungan yang erat sebagai bangsa dan agama yang sama. Beliau juga menyamakan hubungan GISBH dengan MAIP dan rakyat Pattani seperti hubungan Muhajirin dan Ansar di zaman Rasulullah SAW.

Dr. Abdul Rahman yang baru dilantik sebagai Timbalan Sheikul Islam Thailand memaklumkan bahawa Wilayah Pattani mempunyai lebih daripada 700 buah masjid.

AJK bahagian pendidikan mengatakan terdapat 300 pengajian pondok, 60 sekolah agama dan akademik, 30 sekolah tanpa akademik, serta 720 buah tadika yang beroperasi di setiap masjid di Pattani.

AJK bahagian syarak pula berkongsi bahawa MAIP diasaskan pada tahun 1940 merupakan Majlis Agama Islam yang pertama dan diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan Thailand pada tahun 1945. Kini, terdapat 40 Majlis Agama Islam di seluruh Thailand.

Wakil bahagian ekonomi pula berminat untuk bekerjasama dengan GISBH di dalam bidang ekonomi yang dilihat sesuai.

Dalam pertemuan tersebut, Tn. Maaruf Kasim mewakili Datuk PE GISBH turut memberi penerangan mengenai aktiviti GISBH di Pattani melalui program Silaturrahim, Ziarah, Dakwah dan Tijarah. Ini termasuk pembukaan restoran Ikhwan Delight, kerjasama penternakan Ayam Sihat Ikhwan di Kolej Teknologi Pertanian dan Perikanan Pattani, penanaman padi menggunakan enzim Fateh di Me Lan, serta hubungan erat dengan tokoh-tokoh masyarakat di semua peringkat.

Pada akhir pertemuan, Datuk Nasiruddin dalam ucapannya menegaskan bahawa kehadiran GISBH di Pattani adalah untuk membantu mengembalikan Pattani sebagai ‘Serambi Mekah’ seperti dahulu, sambil mengajak umat Islam di seluruh dunia untuk berkunjung ke Pattani.

“Islam sebenarnya tiada sempadan kerana di seluruh dunia kita menyembah Allah yang satu dan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Malangnya, dunia tanpa sempadan ini dimanfaatkan oleh orang kafir hingga memasuki setiap rumah kita, bahkan sampai ke dalam poket kita melalui telefon bimbit,” ujar beliau.

Majlis tersebut diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati daripada Datuk PE GISBH kepada YDP MAIP.

Views: 429
Scroll to top