KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2024 –
Pengerusi Eksekutif (PE) GISB Holdings Sdn Bhd, YBhg. Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali bersama barisan Pengarah dan pasukan Sektor Media GISBH telah melakukan kunjungan hormat ke Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Pertemuan ini disambut oleh Puan Kyadizah Hj Abdul Hamid, Pegawai Perhubungan Kementerian Komunikasi.
PE GISBH dan delegasi telah bertemu dengan Setiausaha Politik kepada YB Menteri Komunikasi, Tn. Abdullah Izhar bin Mohamed Yusof yang turut diiringi Pn. Kyadizah sepanjang pertemuan ini.
Sesi pertemuan dimulakan dengan tayangan video Profail Syarikat GISBH dan Highlight IITTE’24, diikuti dengan pembentangan dari Sektor Media oleh Tn. Afdhaluddin Latif, Timbalan Ketua Sektor Media GISBH. Pembentangan tersebut menekankan Misi dan Visi Sektor Media, sejarah penubuhan TV Ikhwan (Streaming TV), serta beberapa produk media lain seperti filem pendek, bahan berita, dan penglibatan Sektor Media sebagai Penyiar Rasmi dalam beberapa majlis kerajaan dan swasta.
Antara cabang penyiaran Sektor Media yang diketengahkan termasuk TV Ikhwan, portal berita IkhwaNews, Tiktok, Facebook, dan pelbagai platform media sosial lain.
Tn. PE GISBH turut berkesempatan meminta ditayangkan filem pendek bertajuk “Basuh Telur,” yang mendidik masyarakat tentang kepentingan kebersihan dan kesucian dalam membasuh telur ayam mengikut syariat Islam. Filem pendek ini pernah ditayangkan di TV Hijrah.
Dalam ucapannya, Tn. Nasiruddin menyatakan harapan besar agar Sektor Media GISBH dapat membimbing masyarakat majmuk Malaysia, khususnya golongan pemuda yang cintakan tanah air.
Pada masa ini, Media Mulia Sdn Bhd turut menyalurkan berita GISBH melalui Utusan/Mingguan Malaysia dan The Malaysian Reserve.
Tn. Abdullah Izhar menutup pertemuan dengan menyatakan bahawa Sektor Media GISBH telah memiliki kandungan media yang berkualiti, dan ianya hanya perlu disalurkan melalui platform di bawah kendalian Kementerian Komunikasi seperti RTM.
Beliau juga menyatakan hasrat untuk memanjangkan hasil pertemuan ini kepada YB Menteri Komunikasi dengan harapan akan terjalin kerjasama yang baik dalam masa terdekat.
Pertemuan diakhiri dengan pemberian cenderahati berupa Produk Ikhwan dan sesi bergambar.