DAVAO CITY, 29.06.2023
YDH Tuan Ahmad Anuar Abdul Rahman, Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Ahmadulkuddus Husain dan Tuan Faizel Abd Rahman, Konsul Malaysia di sini baru-baru ini.
Tuan Ahmad Anuar bersama 5 ahli rombongan disambut oleh Konsul Faizel Abd Rahman dan dibawa ke meja pelawat untuk menandatangani Buku Pelawat di Pejabat Konsulat Malaysia yang terletak di Tingkat 3, Bangunan Florantine, A. Bonifacio Street, Davao City, 8000, Davao del Sur, Filipina.
Setelah itu rombongan bergambar bersama dua orang Konsul tersebut dan masuk ke bilik mesyuarat untuk saling berkenalan dan bertukar maklumat.
Konsul Tuan Ahmadulkuddus Husain berasal dari Kapar, Selangor dan telah berkhidmat di sini sejak bulan Oktober 2020 dan ditugaskan di bahagian politik, ekonomi dan keselamatan manakala Konsul Tuan Faizel Abd Rahman pula berasal Sipitang, Sabah dan baru sahaja bertugas di Davao.
Konsulat Malaysia di Davao mula bertapak sejak tahun 1995 lagi dan bertanggung jawab mewakili Kerajaan Malaysia di kepulauan Mindanao keseluruhannya.
Tuan Ahmad Anuar selaku wakil GISBH pula menyampaikan salam daripada YDH Pengerusi Eksekutif GISBH, Tuan Nasiruddin Mohd Ali kepada pihak konsul dan menyatakan tujuan kedatangan rombongan GISBH adalah permintaan Tuan Pengerusi Eksekutif untuk meneruskan program Silaturrahim, Ziarah, Dakwah dan Tijarah serta melaksanakan ibadah korban di Marawi City.
Tuan Ahmad Anuar juga mengatakan adalah menjadi tradisi Pengerusi Eksekutif untuk mengunjungi wakil kerajaan Malaysia di negara yang dikunjungi samada TYT Duta dan Konsul Jeneral kerana mereka umpama bapa kepada rakyat Malaysia di negara tersebut.
Tuan Ahmad Anuar juga berkongsi perkembangan terkini GISBH di utara dan selatan Thailand seperti MoA GISBH dengan Kolej Pertanian dan Perikanan Pattani dan tayangan profil GISBH.
Tuan Ahmadulkuddus berterima kasih atas kunjungan ini dan menyebut hubungan baik Pengerusi Eksekutif GISBH dengan Konsul Jeneral tetapi beliau sedang bercuti di Malaysia.
Beliau menjelaskan Davao merupakan wilayah yang paling selamat di seluruh Mindanao dan mencadangkan agar ada pengiring di kalangan orang tempatan jika ingin ke wilayah-wilayah yang lain.
Menurut beliau penduduk Mindanao seramai 26 juta orang, jumlah orang Islam adalah seramai antara 6 hingga 7 juta orang dan mereka tinggal di wilayah Davao, Maguindanao, Lanao del Sur, Sulu, dan Tawi-Tawi sambil menyatakan potensi GISBH dalam memulakan perniagaan barangan halal di Mindanao.
Pihak konsul gembira dengan aktiviti perniagaan GISBH yang ditayangkan di video profil syarikat, aktiviti remaja seperti berkuda, motor besar dan memuji mutu penghasilan video tersebut yang dibuat oleh staf syarikat terdiri di kalangan remaja.
Wakil GISBH juga berkongsi lokasi untuk bersembahyang sunat Aidil Adha keesokkan harinya dan jadual perjalanan ke Marawi City untuk melakukan ibadah Korban.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai dan penyerahan plak dan cenderahati berupa produk Ikhwan Brand dilakukan keesokan harinya selepas sembahyang sunat Aidil Adha kerana beberapa bagasi dan barang rombongan GISBH lambat sampai kerana masalah teknikal.
Moga segala usaha pimpinan GISBH mengadakan hubungan dengan semua pihak dirahmati Allah dan mendapat keberkatan dari-Nya.