PARIS, 21.05.2024
Satu kunjungan hormat telah diadakan oleh rombongan GISBH diketuai oleh Tn. Nik Ashaari; Ketua Setiausaha Zon Turki Eropah ke atas TYT Dato Eldeen Husaini Mohd Hashim, Duta Besar Malaysia yang baharu ke Perancis di Kedutaan Besar Malaysia di sini hari ini jam 3 petang.
Kunjungan Tn. Nik Ashaari yang diiringi oleh En Barrulmuthi; wakil kawasan Paris dan Ust. Adlan; staf Restoran Nur Malaysia ini sesuai dengan hasrat TYT Duta untuk mengenali GISBH lebih dekat setelah menghadiri satu ‘Breakfast Meeting’ di Restoran Nur Malaysia Paris (RNMP) baru-baru ini.
Mereka di sambut oleh Setiausaha 2, En Shahidan Shakir dan dibawa menandatangani buku pelawat sebelum memasuki bilik tetamu.
Di bilik tetamu, perwakilan GISBH disambut oleh TYT Duta sendiri lalu disampaikan beberapa produk Ikhwan sebagai cenderahati daripada Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH, YDH Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, iaitu Jus Ikhwan dari Mekah, mi segera Dudomi Ikhwan dari Türkiye dan biskut Raya Ikhwan dari London.
Beliau mula mengenali GISBH setelah bertemu dengan wakil GISBH di satu majlis keramaian ketika berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Kemboja.
TYT Duta agak terkejut melihatkan kehadiran GISBH di Paris melalui RNMP lebih-lebih lagi bila mengetahui GISBH telah bertapak di 20 buah negara apabila di tunjukkan peta cawangan GISBH seluruh dunia.
TYT Duta sangat ingin membantu syarikat-syarikat Bumiputra yang bertapak di luar negara dan bercadang untuk menjadikan RNMP lokasi menjamu tetamu-tetamu VIP dan juga pelawat-pelawat dari Malaysia.
Akan datang beliau bercadang untuk membawa TYT Gabenor Melaka, YM Raja Muda Perlis dan menteri-menteri ke RNMP dan meminta senarai pakej-pekej menu termasuk menu VIP.
TYT Duta akan bertamu semula ke RNMP bersama keluarganya dalam masa terdekat ini untuk melihat sendiri dan berbincang berkaitan susun atur restoran dan berbincang cadangan kesesuaian menu.
TYT Duta juga berharap RNMP akan memberikan perkhidmatan khas dalam penyediaan dan penghantaran pek nasi berlauk kepada atlet-atlet sukan negara ketika sukan Olimpik yang akan berlangsung pada bulan Julai di Paris.
Di kesempatan ini, TYT Duta diberi taklimat mengenai perkembangan terbaru GISBH antaranya penglibatan GISBH di Kazan Halal Expo di Rusia dan International Islamic Trade & Tours (ITTE) anjuran GISBH pada bulan Ogos ini.
Menurut TYT Duta ketika menerima hadiah mi segera sihat Dudomi Ikhwan mengatakan ia mempunyai potensi besar dan akan mendapat sambutan di kalangan para pelajar Malaysia dan juga mereka yang lebih dewasa.
Padanya, kandungan Dudomi Ikhwan tanpa MSG boleh dibuat makanan harian dan beliau menawarkan bantuan kepada GISB Perancis membawa masuk mi segera tersebut dari Türkiye.
TYT Duta juga tertarik dengan corak pada jubah dan songkok Ikhwan yang dihasilkan di kilang dan butik Ikhwan. Kunjungan diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai.
Misi PE GISBH sangat tepat dalam membuka rangkaian restoran di Eropah untuk menawarkan menu masakan Malaysia yang halal. Bukan saja warga Malaysia termasuk para VIP mendapat manfaat ketika melancong atau bertugas malah sekaligus mempromosikan Malaysia melalui makanan kepada para pengunjung.