Kunjungan pasukan Alkahfi Pictures Sdn Bhd ke atas Pengerusi Eksekutif GISBH

Views: 61

RAWANG, 29.05.2023
Pasukan dari syarikat penerbitan filem Alkahfi Pictures Sdn Bhd diketuai oleh pengarah dan penyunting terkenal, En Mior Hashim Manap telah mengadakan kunjungan ke atas Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH di Vila GISBH Pusat, Kota Emerald di sini semalam.

Turut bersama beliau, Datuk Nor Hilal bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Datuk Hilal Azman pelakon, pengarah, penulis skrip dan ahli perniagaan terkenal di Malaysia.

Mengiringi En Mior Hashim Manap adalah warga kerja Filem Imam terbitan Alkahfi Pictures iaitu
Izzaidah Khairan isteri En Mior Hashim, Faizal Zamir, Indra Che Muda, Zainal Hayat, Telani, Mohd Azrai Abd Rahman, Mohd Faizan, Rohana, Dj Pool dan Nazir.

Para tetamu tiba di Villa GISBH Pusat
di Kota Emerald jam 10.15 pagi disambut sendiri oleh Tuan Pengerusi Eksekutif, Tuan Hasnan Abdul Hamid, COO GISBH dan warga GISBH yang lain.

Tuan Mokhtar Tajuddin mempengerusikan majlis dengan mengalu-alukan kedatangan para tetamu lalu memperkenalkan Tuan Nasiruddin dan pimpinan GISBH sebelum mempersilakan pengarah Mior Hashim memperkenalkan barisan pasukannya dan filemnya.

Dato’ Hilal Azman seorang penggiat seni menceritakan pengalamannya mengikuti Al-Arqam dan pernah berkhidmat di Sungai Penchala, Desa Minang dan Cameron Highlands.

Sebelum menonton ringkasan tayangan filem ‘Imam’ keluaran Produksi Alkahfi Pictures Sdn Bhd, tetamu ditayangkan dengan bahan-bahan keluaran Unit Media GISBH seperti Profil GISBH, video Ayam Sihat Ikhwan, Kapsul: Kena Basuh Telur, Filem Pendek: RPU Bikers, sebuah filem pendek berbahasa Thailand dan filem iklan berbahasa Arab.

Di pertemuan ini, En Mior Hashim pengarah Terbaik Anugerah Skrin 1999 ini memaklumkan Produksi Alkahfi Pictures menerbitkan filem patuh syariat untuk mendidik umat Islam seperti filem ‘Imam’ yang diadaptasi daripada novel Imam karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain.

“Saya cuma ingin bercerita kisah dulu di tahun 80’an yang berlaku di Malaysia. Ia kisah kita dan bukan kisah orang lain, kita sentiasa ada masalah dengan orang agama, orang politik dan masyarakat. Pada zaman itulah kita gemar mencemuh satu sama lain,” katanya

Tuan Nasiruddin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kedatangan para tetamu kerana dengan itu terjalin hubungan yang boleh dimanfaatkan untuk orang lain mengikut bidang masing-masing agar boleh saling bantu-membantu untuk menyelamatkan suasana manusia yang sangat kritikal di mana orang menceritakan tentang ‘Food Security’, sedangkan GISBH memperkatakan hal masalah iman, masalah pergaulan, masalah syariat untuk selamatkan umat ini.

“Remaja ini kita didik satu orang itu sampai boleh boleh buat 10 kerja, dia boleh memasak, jadi imam, jadi nelayan, kerja pejabat, mengatur pendidikan sekolah dan lain-lain, paling-paling tidak dia boleh menyelesaikan 10 masalah kerana kalau kita biarkan remaja ini akan menjadi masalah pada kita. Dalam GISBH kita mempunyai 3500 orang remaja.

“Kita susun mereka bertugas di dalam dan luar negeri contohnya di London, Manchester, Frankfurt, Paris, Mesir, Istanbul 95% adalah remaja yang dikawal oleh orang dewasa supaya mereka sangat-sangat berguna kepada masyarakat atau menjadi sebaik-baik manusia, mereka yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain,” ujar YDH Tuan Nasiruddin lagi.

Beliau juga menyatakan, filem pendek keluaran GISBH seperti ‘Kena Basuh Telur’ sangat membantu masyarakat memahami bagaimana sepatutnya menyediakan makanan yang benar-benar mematuhi syariat.

“Durasinya pendek, mudah difahami, tetapi sangat memberi kesan pada fikiran dan jiwa penonton di semua peringkat umur tanpa menggunakan kos yang tinggi.

“Hari ini umat Islam, walaupun telah lama merdeka tetapi masih mengikut sistem yang dibawa oleh penjajah umpama kita menggunakan rel keretapi yang sama, gerabak kita tidak akan mampu memintas gerabak mereka yang berada di depan kita kecuali jika kita bina rel keretapi yang baharu.

“Akibatnya, umat Islam terhina di mana-mana kerana tidak terhubung dengan Allah dan sesama manusia.

“Zahirnya mengangkat takbir bersembahyang tetapi hatinya mengingati perkara lain seperti menternak ayam, bergaduh dengan isteri atau berlakon filem, natijahnya Allah tidak membantu usaha-usaha kita kerana Allah hanya membantu orang-orang mukmin dan orang-orang yang bertakwa bukan orang-orang Islam,” tambah beliau lagi.

Pengerusi Eksekutif GISBH mencadangkan agar dibuat filem-filem pendek untuk membantu masyarakat menjadi peribadi bertakwa seperti menerangkan 8 syarat takwa iaitu Pemimpin, Hidayah, Faham Tentang Islam, Yakin, Melaksanakan, Mujahadah, Istiqamah dan Doa diterjemahkan dalam bentuk lakonan.

Para tetamu yang hadir mengiktiraf kualiti filem-filem Ikhwan TV dan mencadangkan Ikhwan mempunyai channel khas untuk memudahkan orang ramai mencari semua filem terbitan Ikhwan.

Tetamu diraikan dengan jamuan makan tengahari nasi putih selera kampung seperti lauk masak lemak siput, ikan keli salai dan burung puyuh. Talapia bakar, Ayam Sihat Ikhwan goreng, ulam-ulaman, sambal belacan dan cencaluk.

Program diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan bergambar kenangan.

Moga hubungan di antara GISBH dengan penggiat seni akan memberi manfaat dengan lahirnya karya-karya yang mendidik masyarakat agar semakin dekat dengan Allah dan Rasul-Nya.

Views: 61

Reviews for Kunjungan pasukan Alkahfi Pictures Sdn Bhd ke atas Pengerusi Eksekutif GISBH

There are currently no reviews for Kunjungan pasukan Alkahfi Pictures Sdn Bhd ke atas Pengerusi Eksekutif GISBH
Scroll to top