Kunjungan Pasukan Nureys Food Sdn Bhd ke Ibu Pejabat GISB Holdings Rawang

Views: 976

RAWANG, 10 Ogos 2024 – Ketua Pegawai Eksekutif Nureys Food Sdn Bhd, Datuk Adam Malekk Muhaiddin bersama pasukannya telah mengadakan kunjungan ke Ibu Pejabat GISB Holdings Sdn Bhd di Pusat Perniagaan Ikhwan, Bandar Country Homes di sini, hari ini.

Beliau, bersama para pengarah Nureys Food, En. Izwan Hj. Kamal, En. Imran Hj. Kamal, dan En. Merli, serta isteri beliau, Datin Noor Ashekin, disambut oleh Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Ahli Lembaga Penasihat GISBH, Tn. Hj. Nik Hazani Nik Muhammad dan Pn. Hjh. Azura Mohd Yusof, serta beberapa pegawai GISBH yang lain.

Kunjungan ini bertujuan mempererat silaturahim susulan penyertaan Nureys Food Sdn Bhd dalam Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE 2024) yang dianjurkan oleh GISBH di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 1 hingga 4 Ogos yang lalu.

Nureys Food Sdn Bhd, sebuah syarikat pembuatan dan pengedaran makanan halal berkualiti, diasaskan pada tahun 1987 oleh Tuan Haji Mohd Kamal bin Abdul Rahman. Dengan pelbagai produk seperti mi hun, laksa, bawang goreng, sambal pecal, kuah sate, sambal rojak, serondeng daging, air mawar, kerisik kelapa, otak udang, pati pandan, sirap ros, keropok sayuran, keropok dal, keropok ikan, dan gula nipah, Nureys Food menerajui pasaran barangan runcit kering di banyak pasar raya di seluruh negara.

Setelah beramah mesra di lobi Ibu Pejabat GISBH, para tetamu dibawa melawat akuarium air masin dan menonton video profil GISBH di Panggung Ikhwan. Mereka kemudian diiring ke bilik mesyuarat di tingkat dua sebelum menunaikan solat Zuhur berjemaah di surau tingkat tiga, diikuti dengan jamuan makan tengah hari.

Rombongan turut berpeluang melawat beberapa premis GISBH dan melihat sendiri suasana di Pusat Perniagaan Ikhwan, Bandar Country Homes.

“Alhamdulillah, apa yang kami lihat sangat mengagumkan, dan jika diberi peluang, kami ingin bekerjasama dengan GISBH pada masa hadapan,” ujar Datuk Adam Malekk.

Diharapkan semua syarikat yang menyertai IITTE dapat meneruskan hubungan baik dengan GISBH untuk bekerjasama dalam bidang-bidang yang sesuai demi kemajuan umat Islam.

Views: 976
Scroll to top