RAWANG, 26.10.2023
Syeikh Muhammad Umar Al-Khatib, seorang ulama yang mempunyai sanad 10 qiraat Al-Quran dari Tarim, Yaman telah berkunjung ke Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes di sini, baru-baru ini.
Beliau yang diiringi oleh Ustaz Ahmad Shahdan, Ketua Alumni Pelajar-pelajar Malaysia lepasan Yaman dan Ustaz Mahyuddin mengadakan lawatan ke PPIBCH setelah wakil-wakil GISBH menyertai sambutan Maulidur Rasul dan Haul Masayikh Al-Jenderami di Kompleks Yayasan Al-Jenderami di Dengil 21 Hb yang lalu.
Di PPIBCH, Syeikh Muhammad Umar dan rombongan di bawa menonton video profail GISBH dan beberapa filem pendek keluaran Unit Media Ikhwan di Panggung Ikhwan.
Rombongan juga dibawa melawat ke beberapa premis perniagaan seperti Galeri RPU Bikers, Ikhwan Bakery, Ikhwan Chocolate, Ais Krim Ikhwan, Poliklinik Ikhwan, Pusat Pergigian Ikhwan, SPA Ikhwan, Rawatan Alternatif Ikhwan dan Ikhwan Coffee House.
Beliau dan rombongan juga dibawa melawat bilik khazanah barang-barang peninggalan Rasulullah SAW di mana terdapat replika mangkuk baginda yang bersanad, hadiah daripada pemilik dan pengasas Muzium Darul Madinah, Dr. Abdul Aziz Ka’ki kepada Tuan Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH.
Selain daripada janggut dan rambut dan lain-lain peninggalan Nabi Muhammad yang mulia, di sini juga terdapat replika rumah baginda SAW yang juga merupakan hadiah daripada Dr. Abdul Aziz kepada Tuan Hj. Nasiruddin.
Syeikh Muhammad Umar memperbanyakkan doa di setiap khazanah berkat Rasulullah tersebut dan berhajat untuk bertemu dengan Tuan Nasiruddin apabila diceritakan kenyataan Dr. Abdul Aziz Ka’ki terhadap Tuan Nasiruddin ketika berkunjung ke rumahnya di Madinah.
Beliau menyatakan apa yang berjaya dibangunkan di PPIBCH adalah kerana bantuan Allah SWT hasil sentiasa terhubung hati di antara pemimpin dengan pengikut.
Menurutnya, pembangunan masyarakat Islam secara sistematik begini tidak terdapat di negaranya walau 50 peratus daripada ini malah 15 peratus pun tiada.
Beliau ingin membawa para Masayikh dari Yaman khususnya Habib Umar bin Hafiz dari Tarim untuk melawat PPIBCH dan mempelawa YBhg Tuan Hj. Nasiruddin Mohd Ali untuk berkunjung ke Yaman dan bersedia menyambut PE di sana.
Moga contoh masyarakat Islam yang cuba dibangunkan dalam GISBH benar-benar menepati Syariat Allah dan Sunnah Nabi agar mempunyai daya tarikan yang kuat untuk para pengunjung bersama-sama mempraktikkannya dalam kehidupan.