RAWANG, 08.10.2023
Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar 79, mantan Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan dan Menteri Luar Malaysia dan sekarang sebagai Pengerusi Masjid Saiyidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara telah berkunjung ke Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes (PPIBCH) bersama AJK kariah masjid tersebut untuk bersilaturahim dan melihat sendiri perkembangan GISBH dari dekat di sini hari ini.
Ketibaan beliau bersama rombongan pada 9.30 pagi disambut oleh Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH sebagai mewakili Pengerusi Eksekutif, YBhg Tuan Hj Nasiruddin Mohd Ali iaitu YBhg Tuan Hj Hasnan Abdul Hamid dan YBhg Tuan Hj Nik Hazani Nik Muhammad serta 3 orang Pegawai Tadbir Syarikat (PTS) di Kafe Laman Ikhwan, PPIBCH.
Ahli rombongan terdiri daripada Datuk Dr. Hamid Arshat 78, antara pakar sakit puan Melayu yang terawal Malaysia, Dato’ Abdul Hanif Harun 85, Bendahari Kehormat PERKIM, Datuk Kisai Rahmat 72, bekas Pengarah eksekutif kejuruteraan dan pembuatan Proton, Tuan Hj Mohd Aziz Mahmood, Tuan Hj Abd Rais Hj Abd Majid dan En. Mazharuddin Abdul Hanif.
Para pimpinan GISBH menyantuni para tetamu dengan jamuan ringan sambil berkenal-kenalan di Kafe Laman Ikhwan. Para tetamu, khasnya Tan Sri Syed Hamid Albar tertarik dengan idea YBhg Pengerusi Eksekutif iaitu Pakej Roti Canai B40 dan mencuba kari kambing serta mengakui keenakkannya.
Mereka juga dapat mengikuti perkembangan terkini GISBH dalam perbualan bersama para pimpinan GISBH khususnya mengenai usaha Tuan Pengerusi Eksekutif membangunkan Empayar Ayam Sihat Ikhwan dan mengimport Jus Ikhwan dari Mekah Al-Mukarramah.
Seterusnya para tetamu di bawa ke Panggung Ikhwan untuk menonton Profail GISBH terkini serta beberapa filem pendek seperti ‘Ayam Sihat Ikhwan’, ‘Berbaloi ke?’ dan lain-lain.
Usai tayangan, Pegawai Tadbir Syarikat, Tuan Mokhtar Tajuddin menyampaikan salam Tuan Pengerusi Eksekutif dan memberi ucapan alu-aluan dan selamat datang kepada para tetamu dengan menyatakan tetamu datang membawa rahmat, perginya bersama keampunan dosa tuan rumah, jika tepat layanannya.
Dato’ Abdul Hanif dalam ucapan balasnya sebagai mewakili Tan Sri Syed Hamid dan AJK Kariah Masjid Saiyidina Umar Al-Khattab mengucapkan terima kasih di atas sambutan yang diberikan.
“Tidak sangka ianya begitu meriah dan kami dapat pelajari pelbagai-bagai daripada GISBH yang mempunyai cawangan sehingga ke 17 buah negara terutama yang di Thailand. Itulah hasrat Tan Sri Hamid, yang tertanya-tanya, macam mana dia orang boleh maju, kita nak ambil peluang, apa yang dapat kita nak cuba demi untuk kemajuan ekonomi umat Islam,” ujar beliau.
Kemudian para tetamu di bawa melawat di Ikhwan Bakery, Ikhwan Chocolate dan Ais Krim Ikhwan. Di Ikhwan Chocolate para tetamu dapat menikmati coklat tempe yang unik sementara di Ais Krim Ikhwan pula mereka menikmati Ais Krim Ikhwan Musang King yang lazat.
Setelah itu para tetamu dibawa ke Ikhwan Coffee House, salah satu daripada 4 buah restoran Ikhwan yang terdapat di PPIBCH untuk menikmati nasi mandy Ayam Sihat Ikhwan dan Ayam Goreng Ayyam Sihat Fateh.
Tan Sri Syed Hamid Albar dalam kata-kata akhirnya mengucapkan berbanyak terima kasih dan mengatakan dengan ungkapan, “Semua kemudahan yang ada menunjukkan you punya passion what you are doing”.
“Yang amat kita besar hati, bangga dia punya kemesraan kepada kita dan makanannya, cemerlang dan enak sedap, event makanan Arab, Nasi Mandy ni pun, saya fikir restoran Arab pun susah nak callange, melainkan restoran Arab yang bagus je.
“Saya mengucapkan terima kasih, insyaAllah hubungan ini tidak akan terputus. Doakan Allah beri kita laluan untuk terus bersama-sama. Makanan lazat semoga Allah sahaja dapat membalas budi baik kemesraan you dan terus berjaya mencapai hasrat dan cita-cita duniawi dan ukhrawi,” ujar beliau.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati berupa produk keluaran Ikhwan dan sesi bergambar beramai-ramai.
Perhubungan GISBH kepada semua golongan dalam masyarakat menafikan tohmahan yang mengatakan GISBH tidak bermasyarakat sesuai dengan gagasan yang dibawa oleh Pengerusi Eksekutif GISBH, ‘Silaturrahim; Ziarah, Dakwah dan Tijarah.’