Kunjungan Tetamu dari Algeria ke GISBH

  • April 8, 2022
Views: 9

KUALA LUMPUR, 07.04.2022
GISBH Malaysia menerima kedatangan seorang tetamu dari Algeria, Syeikh Hatem Zekiri, seorang pengusaha kurma ‘Deglet Noor’ yang terkenal di Algeria, daripada 31hb Mac hingga 7hb April, hari ini dan pulang ke negaranya awal pagi esok.

Sepanjang berada di Malaysia, beliau telah berkunjung ke beberapa Pusat Perniagaan Ikhwan (PPI) GISBH seperti PPI Bandar Country Homes Rawang, PPI Subang, PPI Putrajaya dan PPI Bandar Enstek.

Di PPI Pusat di Bandar Country Homes, beliau berkesempatan melawat premis Galeri Ikhwan, Ikhwan Coklat, Poliklinik Ikhwan, Kompleks Perkhidmatan dan Perubatan Ikhwan, Ikhwan Mart, Butcher Ikhwan, Bengkel Ikhwan juga Dapur Bandar.

Selain itu, Syeikh Hatem juga melawat Sekolah Menengah Islam Zadut Takwa dan mendapat penerangan ringkas dari pelajarnya dalam bahasa Arab. Oleh kerana tertarik hati dengan pendidikan di GISBH, beliau meluangkan masa bersoal jawab dengan para pelajar di sana.

Di antara pusat latihan dan Pusat pendidikan yang sempat beliau kunjungi ialah Pusat Latihan Cara Hidup Islam Puchong, Pusat Latihan Cara Hidup Islam Sg Merah, Madrasah Imam As-Sayuti Batu Hampar dan Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Remaja Berwibawa, Rembau.

Sebagai seorang pengusaha kurma yang mempunyai ladang dan kilang pemprosesan kurma, beliau berbesar hati dapat melawat ladang tanaman nanas GISBH untuk pertama kalinya di Segamat pada  1hb April, dua hari sebelum Ramadhan sambil menikmati nanas segar dari ladang dan jus nanas Ikhwan.

Melawat Kebun Sawit GISBH di Tanah Berkat Pantai Remis, Perak pula mengingkatkan beliau dengan ladang kurmanya di Biskara, Algeria kerana pokok kelapa sawit sangat menyerupai pohon-pohon kurma.

Beliau juga berpeluang melawat Festival Ramadhan Putrajaya 2022
di mana terdapat booth GISBH yang lengkap dengan maklumat berkaitan syarikat juga produk-produk Ikhwan Brand.

Antara luahan hati Syeikh Hatem ialah beliau tidak menjangka akan dapat layanan yang sangat istimewa di GISBH. Selama ini, ketika bermusafir ke mana-mana, beliau akan sentiasa teringatkan keluarga dan ingin segera pulang tetapi dalam lawatan kali ini, beliau seolah-olah berada bersama keluarganya sendiri.

Sebelum berangkat pulang beliau sempat membuat panggilan video dengan Pengerusi Eksekutif GISBH, Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan Dato’ Lokman Hakim yang sekarang berada di Jambi, Indonesia. Dalam panggilan tersebut beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas layanan yang diterima dan menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan GISBH khususnya berkaitan perniagaan kurma. Tuan Nasiruddin pula mempelawa beliau untuk bertemu di Mekah.

Begitulah bila tetamu merasai sendiri cara hidup Islam yang penuh kasih sayang, dia akan tertarik untuk sama-sama memperjuangkan agama ini mengikut bidang masing-masing.

Views: 9

Reviews for Kunjungan Tetamu dari Algeria ke GISBH

There are currently no reviews for Kunjungan Tetamu dari Algeria ke GISBH
Scroll to top