YALA, 03.01.2023
Wakil GISBH, Tuan Johari Morad dan Tuan Harun Taat bersama Dr. Mohd Hisham Sultan At-Tamimi, Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Negara-negara Syam diiringi oleh Baba Suwari telah berkunjung ke Maahad Al-Islami Darussalam untuk menziarahi Tuan Guru Hj. Ahmad Amanu di sini semalam.
Kunjungan ini adalah dalam rangka meneruskan program ‘Silaturrahim; ziarah, dakwah dan tijarah’ yang telah dicetuskan oleh ‘Excutive Chairman’ GISBH, Tuan Nasiruddin Mohd Ali, beberapa tahun yang lalu.
Di pondok pengajian ini, rombongan telah disambut sendiri oleh pengasas dan pemiliknya, Baba Hj Ahmad Amanu, 70 tahun.
Pondok yang telah diasaskan 30 tahun yang lalu ini mempunyai pelajar lelaki dan perempuan seramai 100 orang.
Setelah berkenalan dan bertukar fikiran dengan Dr Hisham At-Tamimi dan rombongan, Baba Hj Ahmad
menjamu semua tetamunya makan tengahari dengan juadah hidangan masakan Melayu Petani.
Di pertemuan ini, Dr Hisham menceritakan pengalamannya bersahabat dengan Almarhum Ustaz Ashaari 30 tahun yang lalu manakala Baba Suwari pula menceritakan perkembangan GISBH telah berada di 17 buah negara.
Selepas sembahyang Zohor, Tuan Guru Hj Ahmad mempersilakan Dr Hisham menyampaikan tazkirah ringkas kepada para pelajarnya yang disiarkan secara langsung di media sosial.
“Kamu semua mempelajari ilmu Akidah Imam Abu Hasan Ashaari, Fekah Imam As-Syafie, Tasawuf Imam Junaid Al-Baghdadi dan Imam Al-Ghazali, maka inilah sebenar-benarnya Madrasah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang asli,” antara kata-kata Dr. Hisham di pertemuan dengan para pelajar.
Ziarah diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai tetamu dengan Tuan Guru Hj Ahmad dan para pelajar Maahad Al-Islami Darussalam.
Moga ziarah dan pertemuan ini menjadi titik permulaan pembinaan ukhuwah dan kasih sayang yang menjadi kekuatan untuk umat Islam membina perpaduan dan bersatu.