KUALA SUNGAI BARU, 21.06.2023
Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Dato’ Haji Muhammad bin Haji Abdullah, Undang Luak Johol bersama isteri, Tok Puan Faridah Hanom binti Jaafar telah menziarahi Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, di Saza Beach Villa & Chalets, Kampung Kuala Linggi di sini semalam.
Ketibaan YTM Dato’ Undang Luak Johol pada jam 5.00 petang disambut oleh Tuan Pengerusi Eksekutif bersama Tuan Hasnan Abdul Hamid, Ketua Pegawai Operasi, Tuan Muhammad Adib At-Tamimi, Ketua Pegawai Penyelaras, Puan Ibu Azura Mohd Yusuf, Ahli Lembaga Penasihat Muslimah, Para Pengarah-Pengarah Zon, pimpinan Muslimah, beberapa orang Pegawai Tadbir Syarikat serta para staf GISBH.
Sebaik memasuki Saza Beach Villa yang merupakan sebuah vila agam, salah satu projek pelancongan GISBH untuk sewaan di tepi pantai Kuala Linggi, YTM Dato’ teruja dengan keluasan ruang tamunya dan juga light box Peta Cawangan GISB di 17 buah negara.
YTM Dato’ kemudiannya minta izin untuk menunaikan solat Asar bersama Tok Puan di bilik yang telah disediakan khusus.
Selesai menunaikan sembahyang, YTM Dato’ dan Tok Puan dibawa ke ruang Musolla yang telah diatur susun untuk pertemuan.
YTM Dato’ menceritakan hasrat kedatangannya untuk mengenali lebih dekat YDH Pengerusi Eksekutif dan GISBH serta hendak berbincang beberapa kerjasama yang boleh dijalinkan.
Setelah sesi taaruf dengan Tuan Pengerusi Eksekutif, Tuan Hasnan Abdul Hamid, Puan Azura Mohd Yusof, Tuan Muhammad Adib yang baru tiba bersama barisan Pengarah Zon dari Australia, Tuan Pengerusi Eksekutif bersama Tuan Hasnan dan Ibu Azura berkongsi perkembangan terkini GISBH di selatan Thailand khasnya dalam membantu pembangunan insaniah dan material umat Islam di sana.
Di antara berita yang dikongsikan ialah MoU GISBH dengan Kolej Pertanian dan Perikanan Pattani, MoU dengan Pondok Al-Hasani di Saiburi, Pattani, membina houseboat untuk semarakkan pelancongan di Yala, perasmian Restoran Ikhwan Delights Pattani, juga hasrat pihak Prince of Songkla University untuk bekerjasama GISBH di sudut pengiktirafan Halalan Toiyiban.
Dikongsikan juga kepada beliau perkembangan terkini berkaitan Empayar Ayam yang menjadi cita-cita Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH.
YTM Dato’ sangat mengkagumi YDH Tuan Nasiruddin yang berjaya mendidik dan membimbing serta membina para remaja sehingga menjadi aset serta telah pun berada di saf kepimpinan utama GISBH.
YTM Dato’ pula membicarakan berkaitan tanah yang diselia oleh kementerian di Pusat dan juga tanah-tanah Adat yang boleh dijadikan tapak penternakan ayam, lembu dan juga tapak pertanian. Di tanah-tanah ini, YTM Dato’ berharap adanya kerjasama dengan GISBH untuk meningkatkan sumber ekonomi warga di bawah pemerintahan YTM Dato’.
YTM Dato’ juga menceritakan tentang bot yang dibeli di Kudat, Sabah dengan harga RM400K tetapi tidak digunakan kerana ketiadaan pengemudi. Tujuan YTM Dato’ membelinya adalah untuk menguruskan kerja-kerja di Konsesi Pasir YTM Dato’ di Sepang. YTM Dato berhasrat agar YDH Tuan Pengerusi membantu menguruskan kerja-kerja membaiki, upgrading bot berukuran 60 kaki x 20 kaki tersebut sehingga memperolehi lesen kargo.
Begitu juga YTM Dato’ meluahkan rasa sedihnya kerana dermaga yang terletak di Port Dickson gagal diurus selia dengan baik dan beliau sangat berharap GISBH di bawah pimpinan YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali dapat membantunya.
YTM Dato’ dan Tok Puan disajikan dengan kuih tradisional sebagai minum petang dan kunjungan diakhiri dengan pemberian cenderahati oleh YDH Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH kepada YTM Dato’ dan Tok Puan dan sesi bergambar.
Sebelum berpisah YTM Dato’ menjemput YDH Tuan Pengerusi Eksekutif dan kepimpinan GISBH untuk hadir ke Balai Undang Luak Johol untuk memanjangkan silaturrahim.
Moga akan berlaku kerjasama di Negeri Sembilan sepertimana kerjasama GISBH di tempat-tempat lain agar syiar Islam bertambah meriah kerana Islam itu sifatnya memayungi semua golongan.