Lawatan dan rundingan kerjasama GISBH-FRIM untuk memajukan Industri herba

Views: 10

HULU LANGAT, 13.04.2022
Satu rombongan seramai 15 orang dengan empat buah kenderaan dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) diketuai oleh Dr Farah Fazwa Md Ariff, telah datang melawat ke Pusat Latihan HL 355 iaitu sebuah tanah pertanian usahasama di antara GISBH dan Tuan Hj Ismail, seorang usahawan tani.

Kunjungan Dr Farah Fazwa Md Ariff, Ketua Program Membaik Biak Tumbuhan FRIM dan rombongan adalah untuk menyelidik beberapa jenis tumbuhan herba yang terdapat di sini seperti Cucur Atap, Kacip Fatimah dan Gelenggang.

Setelah berkenalan dan beramah mesra, rombongan dibawa oleh Tuan Hj Ismail dan En Nik Hishamuddin ke lokasi di mana terdapat pokok-pokok herba Cucur Atap yang biasanya terdapat di negeri Terengganu.

Pokok-pokok Cucur Atap tumbuh subur dengan banyaknya di satu kawasan berbukit tidak jauh dari penempatan warga pusat latihan pertanian seluas 355 ekar ini.

Dari kajian penyelidik di FRIM, daun pokok Cucur Atap yang mempunyai aroma yang menyegarkan ini mempunyai khasiat herba untuk merawat penyakit gout.

Beberapa orang staf Dr Farah telah mengambil sampel dari daun pokok ini untuk memastikan kandungannya tidak berbeza dari hasil kajian mereka sebelum ini kerana setiap tumbuhan mempunyai kandungan yang berbeza bergantung kandungan mineral, garam, logam dan lain-lain yang berada dalam tanah di lokasi terbabit.

Melihat kepada kesuburan tumbuhan Cucur Atap yang berada di sini, dijangka akan ada kerjasama yang lebih kukuh di antara GISBH dan FRIM untuk projek tanaman pokok Cucur Atap berskala besar untuk tujuan komersial di masa akan datang.

Rombongan FRIM juga dibawa mengambil sampel daun pokok Gelenggang yang mempunyai nilai perubatan khasnya penyakit kulit manakala tinjauan ke kawasan pokok Kacip Fatimah terpaksa ditangguhkan kerana memerlukan masa yang panjang untuk masuk ke dalam hutan.

Ahli rombongan juga berpeluang menikmati buah Longan Brazil yang dipetik terus dari pokoknya. Buah Longan Brazil bersaiz sebesar bola ping-pong ini jarang ditemui di pasaran dan jika ada pun, harganya mencecah RM50 sekilogram.

Oleh kerana tidak berkesempatan meninjau semua kawasan di pusat latihan ini, rombongan FRIM bercadang untuk berkunjung semula di masa akan datang.

Moga hubungan dan kerjasama antara GISBH dan FRIM akan dapat diteruskan lebih erat lagi di masa hadapan untuk memberi manfaat kepada semua manusia khasnya umat Islam.

Views: 10

Reviews for Lawatan dan rundingan kerjasama GISBH-FRIM untuk memajukan Industri herba

There are currently no reviews for Lawatan dan rundingan kerjasama GISBH-FRIM untuk memajukan Industri herba
Scroll to top