Lawatan Pasukan Ekspedisi Motorhome GISBH ke Kedutaan Besar Malaysia di Iraq

Views: 425

BAGHDAD, 26.05.2024
Pasukan Ekspedisi Motohome GISBH “Mekah Road To Melaka” telah melakukan kunjungan hormat ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Iraq yang baru beroperasi di Hotel Babylon Rotana, di sini hari ini.

Pasukan ini baru sahaja melepasi sempadan Iraq setelah beberapa hari menunggu di Kuwait City untuk menyelesaikan permohonan visa.

Setibanya di Baghdad, mereka segera menghubungi pihak Kedutaan Besar Malaysia dan mengatur lawatan ini.

Mereka terdiri daripada enam orang, diketuai oleh Tn. Md Nafib Nasiruddin, disambut oleh Setiausaha Pertama Kedutaan, En. M. Azeem Jansari, serta En. Shamsul yang bertindak sebagai Pegawai Keselamatan.

Dalam pertemuan tersebut, En. Azeem memaklumkan bahawa pejabat kedutaan baru beroperasi pada November 2023, setelah 20 tahun kerajaan Malaysia menutup kedutaan mereka di Iraq akibat peperangan.

En. Azeem menjelaskan bahawa situasi di Iraq masih belum sepenuhnya stabil, dan pejabat kedutaan yang hanya mempunyai tiga orang staf beroperasi di Hotel Babylon Rotana bersama-sama 60 pejabat kedutaan dari pelbagai negara.

Menurutnya lagi, terdapat lebih daripada 100 rakyat Malaysia di Iraq, di mana hanya dua orang yang tinggal di Baghdad manakala selebihnya merupakan staf Petronas Carigali yang beroperasi di Nasiriyah.

Pihak kedutaan menasihatkan pasukan ekspedisi GISBH agar berhati-hati ketika melalui kawasan utara Iraq, khususnya di Duhok, dan mencadangkan perjalanan melalui Erbil yang dianggap lebih selamat.

En. Azeem juga memaklumkan bahawa pasukan motorhome ini merupakan kumpulan rakyat Malaysia kedua yang melawat kedutaan selepas para staf Petronas.

Tuan Md Nafib turut berkongsi tujuan perjalanan motorhome ini serta cadangan laluan ke Malaysia.

Sebelum bersurai, beliau mewakili Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg. Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali telah menyampaikan cenderahati berupa plak peta cawangan GISBH dan beberapa jenis kuih sejuk beku dari Restoran Nur Malaysia Dubai.

Wakil kedutaan kemudian melawat kedua-dua motorhome yang diparkir di ruang parkir dan atas nasihat En. Shamsul, bendera Malaysia pada motorhome ditutup sementara sepanjang berada di Iraq bagi mengelakkan salah faham dengan bendera Amerika Syarikat.

Semoga hubungan GISBH dengan pihak kedutaan ini dapat mengeratkan kerjasama pada masa akan datang.

Views: 425

Reviews for Lawatan Pasukan Ekspedisi Motorhome GISBH ke Kedutaan Besar Malaysia di Iraq

There are currently no reviews for Lawatan Pasukan Ekspedisi Motorhome GISBH ke Kedutaan Besar Malaysia di Iraq
Scroll to top