RAWANG, 24.11.2023
Sohibul Fadhilah Tn Guru Syeikh Hj Mohd Hafidz Hj Selamat, Pengasas dan Penasihat Lembaga Amanah Yayasan Al-Jenderami bersama rombongannya seramai 20 orang telah sudi menerima jemputan untuk melawat Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes (PPIBCH), di sini baru-baru ini.
Jemputan ini adalah merupakan hasrat Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH iaitu Ybhg Tn Hj Nasiruddin Mohd Ali untuk GISBH mempunyai hubungan silaturrahim dengan pelbagai pihak terutama para pencinta Ahlil Bait Rasulullah SAW.
Antara rombongan yang hadir termasuklah Tn Hj Zainuddin Abd Manaf, Setiausaha Yayasan, Ustzh Rokiah Zahaman, Penasihat Jemaah Muslimat Al-Jenderami, Dr Zakiah Ismail, Ahli Lembaga Yayasan merangkap Pengarah Pusat Pengajian Sepanjang Hayat Ibu dan Ayah (Warga Emas) Al-Jenderami, Tn Hj Zainuddin Idris, Setiausaha Koperasi Barakah, Ustaz Hj Ahmad Shadan, Pengerusi Alumni Madrasah Tarim, staf dan guru-guru pelatih yayasan tersebut.
Para tetamu telah disambut Pegawai Tadbir Syarikat GISBH, Tn Hj Johari Morad, Tn Hj Harun Taat, En Tengku Azhar Tengku Osman dan En Azri Yunus.
Para tetamu yang tiba di PPIBCH kira-kira jam 10 pagi dan dibawa masuk ke Panggung Ikhwan untuk sesi taaruf dan taklimat, menonton video profil GISBH terkini, video Ayam Sihat Ikhwan dan wayang nasihat ‘Basuh Telur’.
Majlis ramah mesra ini juga diselang seli dengan sesi soal jawab di mana antara soalan yang ditanyakan berkisar tentang sistem gaji di dalam GISBH, sistem pendidikan dan kitab-kitab yang digunakan di dalam GISBH.
Rombongan kemudian dibawa melawat ke premis perniagaan terdiri dari Bakery Ikhwan, Galeri Ikhwan, Ikhwan Chocolate, Aiskrim Ikhwan, Pejabat Pentadbiran Ikhwan, Kompleks Perkhidmatan Perubatan Ikhwan, tandas awam 5 bintang, juga melihat burung unta dan kuda.
Para tetamu kemudian menikmati makan tengahari, sebahagiannya di Ikhwan Coffee House manakala yang lainnya di Laman Ikhwan.
Antara respon Tuan Guru Datuk Syeikh Hj Mohd Hafidz ada menyatakan keperluan membina satu generasi yang bersikap mandiri, berdikari dalam membina satu sistem kehidupan Islam.
Menurutnya lagi, ilmu agama kini bukan saja untuk dipelajari, bahkan ia perlu dilaksanakan dalam bentuk realiti, sebagaimana disaksikan di PPIBCH, syiar Islam itu lebih nampak terserlah.
Beliau kemudiannya mempelawa GISBH membuka lagi bandar Islam di Pahang dan Perak kerana beliau sendiri mempunyai pengalaman mengendalikan tanah-tanah wakaf.
Beliau juga menyampaikan salamnya kepada YBhg PE, Tn Hj Nasiruddin Mohd Ali yang sekarang berada di Tashkent, Uzbekistan atas lawatan kerja dan menghadiri Ekspo Halal OIC di Istanbul di mana GISBH menjadi penaja utamanya.
Mudah-mudahan kedatangan Sohibul Fadhilah Tn Guru Syeikh Hj Mohd Hafidz Hj Selamat dan rombongan membawa sebesar-besar rahmat kepada warga PPIBCH khasnya dan GISBH umumnya dan akan diteruskan dengan kerjasama yang baik dari kedua pihak, GISBH dan Yayasan Al-Jenderami demi kebaikan seluruh umat Islam di Malaysia.