Lawatan TYT Tun Mohd Ali Rustam ke WBDIH

Views: 252

MEKAH, 28.02.2024
Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Seri Setia Dr. Hj Mohd Ali bin Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman bersama rombongan 29 orang telah mengadakan lawatan ke Wadi Berkat Dato Ibu Hudaibiyah (WBDIH), pusat sehenti sukan sunnah dan chalet GISBH di sini hari ini.

Rombongan TYT Tun terdiri daripada ahli keluarga dan para pembantu diiringi wakil Konsulat Malaysia Jeddah, En. Hanif dibawa oleh Jad Travel yang banyak bekerjasama dengan GISBH.

Rombongan yang tiba jam 11.30am atas jemputan Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, dibawa melawat ke seluruh kawasan WIBDH oleh barisan kepimpinan GISBH.

WBDIH yang telah dikunjungi oleh lebih 150 ribu jemaah umrah dari pelbagai negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Turki, Algeria dan India dengan tarikan ternakan haiwan kesayangan Rasulullah seperti unta, kuda, kambing dan biri-biri. Terdapat juga ayam, itik, angsa dan kucing. Masakan Melayu juga antara daya tarikan di sini seperti roti canai, teh tarik, rendang, mi kari, laksa dan sate unta tidak terdapat di Malaysia.

Selesai lawatan, TYT Tun dan rombongan dibawa bertemu Pengerusi Eksekutif GISBH bersama Ahli Lembaga Penasihat Tn. Muhammad Adib At Tamimi, Pn. Hjh. Azura Mohd Yusof, Pengarah Zon Haramain, Tn. Abbad Attamimi dan Tn. Hamdi Mohd Noor di Coffee House WBDIH.

Para tetamu dihidangkan dengan makanan negeri Melaka dari dapur WBDIH. Antara menu istimewa ialah daging unta masak asam pedas dan daging unta goreng.

YBhg Tn. Hj. Nasiruddin yang juga kelahiran Melaka, berbual mesra dan berkongsi perkembangan terkini GISBH kepada TYT Tun yang sekarang berada di 19 buah negara termasuk projek-projek GISBH di Arab Saudi antaranya jus Ikhwan yang mendapat perhatian TYT Tun.

Apabila TYT Tun bertanya lokasi jus Ikhwan dikilangkan, Tn. Pengerusi Eksekutif GISBH terus menjemput beliau dan rombongan untuk melawat kilang tersebut di Jumum, Mekah.

Majlis diserikan dengan meraikan sambutan ulang tahun kelahiran anak bongsu TYT, Muhammad Hamka Bin Mohd Ali yang ke 34 di mana TYT Tun menjemput YBhg Tn. Nasiruddin bersama-sama memotong kek dan berdoa untuk keberkatan.

Selepas menikmati hidangan menu masakan Melaka yang menyelerakan, telah diadakan sesi penyampaian cenderhati daripada YBhg Tn. Pengerusi GISBH kepada TYT Tun berupa plak GISBH, penyerahan hadiah ulang tahun kelahiran anak TYT dan penyampaian cenderahati kepada Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abd. Rahman daripada Pn. Azura Mohd Yusof.

Rombongan TYT Tun menunaikan sembahyang zohor berjemaah di Surau terbuka WBDIH sebelum bergerak bersama-sama meninggalkan WBDIH menuju ke kilang pemprosesan jus Ikhwan di Al-Jumum.

Moga kedatangan tetamu membawa sebesar-besar keberkatan dan kepulangan mereka memgangkat segala dosa para penghuni WBDIH.

Views: 252

Reviews for Lawatan TYT Tun Mohd Ali Rustam ke WBDIH

There are currently no reviews for Lawatan TYT Tun Mohd Ali Rustam ke WBDIH
Scroll to top