Lebih 15 ribu pengunjung meriahkan Rumah Terbuka Aidil Fitri GISBH Pusat

Views: 38

RAWANG, 21.05.2023
Lebih 15 ribu orang tetamu pelbagai golongan, bangsa dan agama menghadiri dan memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes (PPIBCH) di sini semalam.

Majlis yang bermula sejak 10 pagi itu telah mula didatangi tetamu seawal jam 9.15 AM lagi bermula dengan pendaftaran di meja pendaftaran dan mengambil nombor untuk cabutan bertuah.

Tetamu berpeluang melawat pameran mengenai GISBH dengan mendapat penerangan daripada petugas-petugas berpandukan carta yang dipamerkan samada mengenai pengenalan syarikat, pengurusan tertingginya, sektor dan jabatannya, anak-anak syarikatnya, cabang belianya, cawangan-cawangannya dan lain-lain.

Terdapat juga pameran dan jualan produk-produk Ikhwan Brand yang dijamin suci dan halal seperti Ayam Sihat Ikhwan, ais krim, mi kuning, kuetiau, sos cili dan tomato, air berkabonat, coklat dan lain-lain.

Antara pameran yang sangat menarik ialah replika Kompleks Sihat Ikhwan yang merupakan sebuah ‘Ikhwan One Stop Islamic Health Centre’ di atas tanah seluas 50 ekar yang menempatkan hospital pakar, hospital biasa, klinik bersalin, rumah pantang, rumah jagaan warga tua, pusat dialisis, masjid, hotel, rumah komuniti, lot kedai, kolam renang, lapangan memanah, dusun durian dan lain-lain yang memberi peluang orang ramai menyalurkan sumbangan.

Para tetamu mengambil juadah makanan dari gerai dan meja hidangan yang disediakan lalu menikmati hidangan di 40 buah meja bulat di bawah marquee tent dan meja-meja tersedia di padang.

Antara juadah yang disediakan ialah, nasi biriani, nasi putih, rendang ayam, dalca, ayam masak merah, gulai kawah, ketupat pulut, lemang, char kuetiau, sate, kambing golek, beraneka mi sup, air balang, cendol durian, ABC, teh tarik, kuih muih dan buah-buahan.

Pengunjung kanak-kanak berpeluang bermain dengan arnab, supa dupa, motorsikal dan basikal juga buaian, jongkang-jongkit dan papan gelongsor yang sedia ada.

Antara tetamu yang hadir ialah; TYT Dato’ Dr Azfar Mohamad Mustafar dan keluarga, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, Pengarah Eksekutif World Trade Centre, Datuk Manjit Singh, Pemaju Perumahan, Dr Hesham Fouad, Doktor pakar bedah dari Mesir, Datuk Nadzim Johan atau Toqqi, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Marzuki Ramli, pemilik restoran Astana Putra Serdang, Ustaz Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Antara tetamu yang hadir juga, YB Tuan Chua Wei Kiat, ADUN Rawang, Mel atau nama sebenarnya Ismail Zainuddin, bekas vokalis kumpulan Wings, artis terkenal, Raja Azura dan keluarga, Datuk Aisamar Kadil Mydin Syed Marikiah, Pengarah Syarikat Hartasuma Sdn Bhd, Dr Balachandran Gopal Krishnan, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP), Mr Chee, sahabat Almarhum Ustaz Ashaari, Datuk Zainal Abidin Sakom, pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Kol. Bersekutu (PA) Datuk Abdul Malik Abdullah, Pengasas rangkaian restoran D’Tandoor dan Datuk Endry, seorang peguam.

Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan para Ahli Lembaga Penasihat (ALP) melayan dan menjamu selera para tetamu VVIP di modular berhawa dingin yang disediakan untuk memudahkan perbincangan dan perbualan khusus di samping membawa mereka melawat ke ruang pameran dan replika Kompleks Sihat Ikhwan.

Dr Bala dalam ulasannya berkata, “Ahli politik kena belajar dengan Ikhwan yang memperjuangkan kasih sayang bukan menanam kebencian di dalam masyarakat!”.

Mr Chee pula berasa kagum dengan maju dan berkembangnya GISBH melihat kepada banyaknya premis-premis perniagaan baru yang GISBH ambil berbanding 13 tahun yang lalu.

Antara daya tarikan di program kali ini ialah tiga kali cabutan bertuah kepada para pengunjung berdaftar dengan hadiah utamanya penginapan 3 hari 2 malam di Global Ikhwan Resort Langkawi dan lain-lain hadiah menarik.

Program Rumah Terbuka ini diakhiri dengan Teater Muzikal Islam Aidil Fitri yang memberi pengajaran dan kesan di hati para penonton dengan lakonan dan bait-bait nasyid yang dipersembahkan.

Moga Allah jadikan Majlis Rumah Terbuka kali ini medan untuk bersilaturahim dan berkasih sayang antara staf GISBH dan keluarga mereka dengan masyarakat umum khasnya para pelanggan dan kenalan GISBH agar lebih banyak kerjasama demi kepentingan umat Islam dapat dijayakan di masa akan datang.

Views: 38

Reviews for Lebih 15 ribu pengunjung meriahkan Rumah Terbuka Aidil Fitri GISBH Pusat

There are currently no reviews for Lebih 15 ribu pengunjung meriahkan Rumah Terbuka Aidil Fitri GISBH Pusat
Scroll to top