Maahad Imam As-Sayuti meraikan lebih 400 orang tetamu di Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri

Views: 106

BERUAS, 21.05.2022
Maahad Imam As-Sayuti, sebuah pusat pendidikan menengah di bawah GISBH menyantuni lebih 400 orang tetamu di Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri yang diadakan di Kampung Batu Hampar Dalam, di sini hari ini.

Antara tetamu yang hadir ialah Ketua Kampung Batu Hampar Dalam, Tok Hasan bin Yaakub bersama anak saudaranya dan kira-kira 150 orang pelajar lelaki dan perempuan dari Maahad Tahfiz Qiam, Batu Hampar iaitu Pondok Ustaz Sidek Noor. Mereka semua berjiran dengan MIAS.

Tuan Ariffin bin Embong atau Tok Ipin dan empat orang pengiringnya dari syarikat MRSOL turut hadir memeriahkan majlis kali ini. Tok Ipin adalah rakan kongsi GISBH untuk membangunkan sebuah resort berasaskan tanaman pokok gaharu di sebidang tanah tidak jauh dari Lumut, Perak.

Antara tetamu yang lain ialah YB Jamilah binti Zakaria, ADUN Trong bersama dua orang pengiringnya. YB yang lebih popular sebagai Cikgu Jamilah telah beberapa kali datang ke Maahad Imam As-Sayuti sebelum ini. Beliau berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih atas jemputan GISBH ke majlis ini.

Para tetamu disambut oleh disantuni oleh pimpinan GISBH dan MIAS iaitu YBhg Tuan Qudamah Saharuddin, YBhg Tuan Mokhtar Tajuddin, Ustaz Johari Morad, Ustaz Tengku Azhar dan lain-lain.

Pengunjung-pengunjung dihiburkan dengan persembahan nasyid dan pertunjukan silat oleh pelajar-pelajar MIAS sambil menikmati juadah pelbagai jenis masakan yang menyelerakan.

Antara menu hari raya yang dipersiapkan ialah lemang, sate ayam dan daging, roti canai, soto, nasi himpit, kuah kacang, rendang ayam, biskut raya, puding, taufufah, buah anggur, tembikai dan tembikai susu dengan minuman air soya, teh tarik, asam boi limau dan teh O ais.

Menu istimewa pula ialah 3 ekor kambing yang disembelih sendiri di sini dan dibakar dalam lubang ala Timur Tengah.

Di samping itu MAIS menerima sumbangan makanan daripada para kenalan untuk turut menyerikan majlis ini seperti nasi minyak, ayam masak merah dan acar jelatah, nasi beriani, nasi goreng dan mi goreng.

Majlis penuh meriah yang berakhir pada pukul 4 petang ini memberi peluang kepada semua pihak bergembira dan menjalinkan kasih sayang dalam suasana hari raya setelah dua tahun terhalang oleh wabak Covid-19.

Moga dengan saling berukhuwah dan berkasih sayang Allah Taala turunkan rahmat dan berkat-Nya dan memberi keampunan kepada seluruh umat Islam.

Views: 106
Scroll to top