Majlis Iftar RNMT bersama anak-anak OKU Uzbekistan

Views: 610

TASHKENT, 24.03.2024
Seramai 30 orang pelajar OKU dari Maktab 199 telah diraikan dalam majlis berbuka puasa di Restoran Nur Malaysia Tashkent (RNMT) di sini baru-baru ini.

Untuk makluman, di Uzbekistan tiada nama khusus ditentukan untuk sekolah kerajaan tetapi ia beri pengenalan dengan nombor seperti sekolah atau maktab ini diberi nama, ‘Maktab 199’ di mana ia dikhususkan untuk pelajar-pelajar kelainan upaya (OKU) dengan jumlah pelajarnya seramai 300 orang.

Seramai 75 orang tetamu jemputan yang hadir ke Majlis Iftar ini diketuai tetamu kehormat, Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, TYT Ilham Tuah Illias dan delegasi dari Kedutaan Besar Malaysia, para tetamu tempatan dan kenalan-kenalan GISBH.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Imam Abdul Wahid diikuti dengan bacaan doa sebelum berbuka puasa.

Setelah berbuka ringkas, Imam dan tetamu jemputan beransur ke masjid untuk menunaikan sembahyang fardhu Maghrib.

Manakala anak-anak OKU jemputan terus menghadap makanan yang telah sedia dihidangkan oleh guru-guru dan staf RNMT.

Selepas sembahyang fardhu maghrib, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan wakil RNMT, Puan Mihrimah dan diterjemah oleh Puan Aishah Opa diikuti dengan penyampaian hadiah kepada setiap anak-anak istimewa tersebut oleh TYT Duta Besar sendiri.

Antara juadah istimewa dari RNMT ialah nasi minyak, nasi putih, ayam masak merah, ayam goreng rangup, spaghetti bolognese, aglio oglio, ikan goreng sazan (Uzbek style), Sup Kembara daging, Greek salad, fresh salad, gado-gado, acar jelatah, pengat pisang, bubur kacang hijau, kuih kaswi, puteri ayu, tepung pelita, pulut panggang, seri muka, onde-onde, kuih bom, biskut red velvet, choc moist, triffle, mini pizza dan banyak lagi serta beberapa jenis minuman sejuk dan panas.

TYT Duta melahirkan rasa terhiburnya apabila majlis seumpama ini dapat dijalankan dan menyatakan hasrat untuk RNMT menguruskan satu majlis seperti ini dari dana sumbangan TYT Duta dan kakitangan kedutaan sendiri.

Sebelum bersurai meninggalkan RNMT, TYT berkirim salam kepada Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH. Tn. PE sendiri telah melakukan kunjungan hormat ke atas TYT Duta ketika lawatan kerja beliau ke projek perniagaan GISBH seluruh dunia termasuk di Tashkent, Uzbekistan sebelum ini.

Pihak RNMT berterima kasih kepada mereka yang telah bersama-sama memberi sumbangan untuk majlis ini diadakan dari kalangan rakyat Malaysia dan Indonesia yang pernah menjadi tetamu di RNMT.

Moga program yang baik seperti ini dapat diteruskan lagi dan perhubungan baik dengan masyarakat tempatan dapat dikukuhkan sekaligus menguatkan hubungan antara 2 negara.

Views: 610

Reviews for Majlis Iftar RNMT bersama anak-anak OKU Uzbekistan

There are currently no reviews for Majlis Iftar RNMT bersama anak-anak OKU Uzbekistan
Scroll to top