ISTANBUL, 14.01.2023
Demi mengeratkan ikatan kekeluargaan dan silaturrahim juga menghargai kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh para kenalan rapat GISBH di Turkiye selama ini, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, selaku ‘Excutive Chairman’ GISBH, telah mengadakan satu majlis makan malam untuk mereka di Restoran Nur Muhammad di sini baru-baru ini.
Para tetamu jemputan hadir bersama keluarga masing-masing malah mereka semua dianggap bagai keluarga sendiri oleh YDH Tuan Chairman.
Antara tetamu yang hadir pada majlis itu termasuklah En Taifur, En Ufuk Bey, En Ehsan Bey, Tuan Halil dan Tuan Rejab.
En Taifur adalah anak angkat kepada Syeikh Mustafa Mubarak seorang tokoh sufi berpengaruh di Turki, yang juga sahabat baik Tuan Chairman dan GISBH.
En Ufuk Bey yang mempunyai syarikat sewa menyewa kenderaan banyak membantu GISBH Turkiye di sudut penyediaan kenderaan atau pengangkutan.
En Ehsan Bey, seorang peniaga cincin di deretan kedai-kedai untuk pelancong tidak jauh dari Masjid Saiyidina Abu Ayob Al-Ansori pula banyak membantu GISBH dalam urusan berkaitan perundangan perniagaan dan imigresen.
Tuan Halil yang pernah bertemu pengasas GISBH Almarhum Ustaz Ashaari Muhammad pula merupakan individu yang rapat dengan Presiden Turki Mr Recep Tayyip Erdogen dan juga anak angkat kepada Syeikh Mustafa Mubarak.
Tuan Rejab adalah pemilik bangunan Restoran Nur Muhammad yang GISBH sewa dan juga seorang wartawan kepada salah sebuah stesen TV di Turkiye.
Para tetamu menikmati hidangan nasi biryani dengan daging masak kurma, daging rusuk panggang, ikan masak stim, ikan masak 3 rasa, ayam panggang, manisan Turkiye dan bubur pulut hitam.
Selepas sesi jamuan para tetamu menerima cenderahati barangan produk GISBH dan gambar berbingkai kenangan mereka bersama GISBH dari YDH Tuan Chairman sendiri.
Para tetamu menyatakan perasaan terharu atas jemputan Tuan Chairman dan kesungguhan beliau meluangkan masa bertemu, bermesra malah menyediakan hadiah untuk mereka, di celah kesibukan beliau dalam rangka bermusafir ke negara-negara Scandinavia.
Restoran Nur Muhammad milik syarikat GISBH, terletak di Alemdar, Prof. Kazım İsmail Gurkan Cd. No:6, 34110 Fatih/İstanbul, Turkiye kira-kira 5 minit perjalanan dari Masjid Hagia Sophia dan berhampiran bangunan bersejarah Basilica Cistern.
Atas cita-cita GISBH untuk membina generasi Melayu baru yang menjadikan Islam sebagai cara hidup, restoran bukan bertujuan mencari keuntungan semata-mata malah menjadi tempat menyatukan antara dua bangsa; Melayu dari Timur dan Turkiye yang pernah menjadi empayar Islam lebih 600 tahun.