Majlis Maulidurrasul dan Silaturrahim Pusat Pengajian Pondok Wilayah Selatan Thailand

Views: 13

PATTANI, 24.09.2022
Untuk pertama kalinya sebuah majlis Maulidurrasul dan Silaturrahim Pusat Pengajian Pondok Wilayah Selatan Thailand telah diadakan di Institut Pondok Al Hasani Witthaya, Mukim Tera Bon, Daerah Saiburi di sini kelmarin.

Program besar yang diadakan ini, telah dihadiri oleh 504 orang Baba-baba atau Tuan-tuan guru dari 504 buah Pusat Pengajian Pondok di lima Wilayah Selatan Thailand.

Majlis yang dirasmikan oleh Jeneral (B) Surayut Chulanont, Ketua Penasihat DiRaja Thailand ini juga dihadiri oleh Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, En Muhammad Ridzuan Abu Yazid, Konsul Jeneral Indonesia, Mr. Fachry Sulaiman, Encik Aree Wong-araya, Naib Presiden Thai Hearts untuk Projek Selatan, Laksamana Muda Somkiat Pholprayoon, Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Encik Sathit Kor Chapayuk, Timbalan Ketua Setiausaha SAO, Encik Niphan Boonluang, Gabenor Wilayah Pattani, ketua-ketua agensi kerajaan, ketua-ketua agama, belia, pelajar-pelajar pusat pengajian pondok dan orang ramai tidak kurang daripada 1000 orang.

Dalam ucapan perasmiannya Jeneral (B) Surayut Chulanont
mengatakan bahawa acara Silaturrahim Maulid ini merupakan acara yang sangat penting bagi umat Islam khususnya perhimpunan aktiviti tuan-tuan guru di wilayah sempadan selatan untuk memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, untuk menghormati akhlak yang baik dan menyebarkan ajaran nabi Islam untuk mewujudkan keamanan dunia, mewujudkan kebaikan dan keadilan antara satu sama lain. Ia juga menggalakkan hubungan baik sesama umat.

Sebagai penganjur, Baba Suaree dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan semua tetamu ke majlis yang menghimpunkan para VIP dan Baba-Baba, tenaga pengajar serta wakil-wakil dari lebih 500 buah pondok di wilayah selatan Thailand dan mengharapkan agar ianya akan dapat diadakan dengan sebaiknya.

Di majlis ini juga, Encik Aree Wong-araya, Naib Presiden Projek “Sharing Thai Hearts to the Heart of the South” telah memberikan ucapan khas dengan tajuk “Model dan pembangunan masyarakat pondok” antara lain mengiktiraf peranan institusi pondok dalam mendidik masyarakat.

Seramai 31 orang delegasi GISBH diketuai oleh pengerusi eksekutifnya, Tuan Nasiruddin Mohd Ali telah dijemput hadir ke majlis ini sebagai membalas kunjungan 30 orang Baba-baba ke GISBH Malaysia baru-baru ini.

Di program ini juga, Jeneral (B) Surayut Chulanont sebagai Ketua Penasihat DiRaja telah menyampaikan plak-plak penghargaan kepada penyumbang-penyumbang institusi pengajian pondok wilayah selatan Thailand termasuk Ybhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali dan YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten Abdul Rahim Pfordten.

Program diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai dan jamuan makan tengahari.

Moga dengan program seumpama ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan negara dengan berkat Rasulullah SAW.

Views: 13

Reviews for Majlis Maulidurrasul dan Silaturrahim Pusat Pengajian Pondok Wilayah Selatan Thailand

There are currently no reviews for Majlis Maulidurrasul dan Silaturrahim Pusat Pengajian Pondok Wilayah Selatan Thailand
Scroll to top