Majlis MoU antara GISBH dengan Pondok Al-Hasani, Saiburi, Pattani

Views: 56

PATTANI, 17.06.2023
Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman
(MoU) antara GISBH dengan Pondok Al-Hasani, Saiburi bagi menjayakan pembangunan Pondok Al-Hasani sebagai sebuah pondok model di selatan Thailand telah diadakan di Dewan Besar, Pejabat Pegawai Daerah Saiburi di sini semalam.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan nasyid Asmaul Husna oleh pelajar pondok Al-Hasani diikuti dengan ucapan alu-aluan Pegawai Daerah Saiburi, Sommart Bara sebagai Tuan Rumah antara lain berterima kasih kepada GISBH yang sudi datang ke Pejabat Daerah Saiburi untuk satu majlis yang besar iaitu untuk membangunkan sebuah pondok bagi menjadikannya model kepada pondok-pondok lain di Pattani.

“Jadi bagi kami wakil kepada Kerajaan Pattani, ingin mengucapkan terima kasih kepada GISB Holdings yang mana syarikat ini adalah sebuah syarikat yang berjaya dan mempunyai cawangan di seluruh dunia,” Pegawai Daerah Saiburi.

Majlis diteruskan dengan ucapan Baba Hj Mohd Suwari bin Hj Hassan, Ketua Persatuan Pondok-pondok 5 Wilayah Selatan yang juga merupakan pemilik Pondok Al-Hasani mengatakan, ini perjanjian kali pertama antara sebuah syarikat perniagaan dengan pondok pengajian di Pattani.

“Moga pondok Al-Hasani dapat belajar bagaimana membangunkan ekonomi daripada syarikat GISB Holdings yang telah berjaya di seluruh dunia,” ujar beliau.

Tuan Nik Hazani Nik Mohammad mewakili YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali menjelaskan tujuan kedatangan GISBH ke Pattani adalah untuk menjalinkan hubungan silaturrahim kerana Allah ancam akan menimpakan kehinaan di mana sahaja kita berada kecuali mereka yang ada hubungan dengan Allah dan sesama manusia.

“Lebih-lebih lagi Pattani adalah jiran kami, dahulu kami tidak berani masuk kerana pelbagai berita yang sampai seperti letupan, tembakan dan suasana tidak aman, namun apabila dilawati ternyata ia sangat cantik sebenarnya.

“Pengerusi Eksekutif GISBH menganjurkan program Silaturrahim, Ziarah, Dakwah dan Tijarah di seluruh dunia termasuk selatan Thailand bertujuan menghubungkan silaturrahim sesama manusia.

“Seorang ulama ada berpesan, cukuplah berperang itu setakat di zamannya sahaja. Binalah hubungan. Bangunkanlah keamanan dan kasih sayang.

“Pattani, Kelantan dan Aceh pernah digelar Serambi Mekah. Namun, apabila manusia terus ingin berperang, Allah datangkan Tsunami.

“Islam itu cantik dan indah, ia perlu diamalkan di setiap sudut kehidupan hingga menjadi contoh ikutan pada manusia lain, bahkan Islam boleh memayungi orang lain walaupun bukan Islam,” ujar Tuan Nik Hazani Nik Mohammad dalam ucapannya.

Surat perjanjian MoU ditandatangani bersama oleh Tuan Nik Hazani Nik Mohammad mewakili GISBH dan Baba Hj Mohd Suwari Hj Hassan mewakili Pondok Al-Hasani di saksikan oleh hadirin yang ramai termasuk YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH, Baba Dr Hj Abdul Rahman Hj Daud, Timbalan Ketua Majlis Agama Islam Thailand merangkap Ketua Majlis Agama Islam 5 Wilayah Selatan.

Majlis diakhiri dengan doa penutup oleh Baba Dr Hj Abdul Rahman Hj Daud dan disudahi dengan jamuan makan tengahari.

YDH Tuan Pengerusi Eksekutif ketika diminta pendapat mengenai MoU ini berkata, “Alhamdulillah hari ini kita dapat menyaksikan MoU, perjanjian rasa. Sebenarnya rasa bersama, pelajar-pelajar pondok ni dia ilmu dah ada, cuma nak mengamalkan, untuk praktikkan, jadi kedatangan kami ni bukan lah nak mengajar tapi nak ajak bersama melaksanakan seperti dari segi ekonominya, dari segi aktivitinya, dari segi kemasyarakatannya, dari segi pertanian.

“Jadi saya rasa bila kita dah MoU ni kita lebih mudahlah sebab ilmu memang dah ada, kita nak ajak mereka praktik ilmu perniagaan dan sebagainya kemudian bina keyakinan diri mereka.

“Ini sebagai contoh dalam masa sebulan ini kalau ada kejayaan, kita akan teruskan ke pondok-pondok yang lain, jadi maknanya satu teori yang nak diamalkan, seperti kita sembahyang, sembahyang dah, tapi kenapa selepas sembahyang kita tak boleh beramal? Jadi itulah nak ajak bersama dengan kehidupan harian, itulah tujuannya,” ujar beliau lagi.

Baba Hj Suwari pula apabila ditanya sejauh mana potensi kejayaan MoU ini berkata,
“Kita nampak ada ciri-ciri untuk menyampai kejayaan, khususnya dari segi meningkatkan pengajian, dan juga yang paling penting sekali kerana kita khususnya di Pattani ni kurang aktif ataupun kurang mahir dari segi meningkatkan ekonomi, oleh itu apabila kita mengadakan MoU dengan syarikat yang besar, yang mana telah mendapat kejayaan bukan hanya di Malaysia bahkan di seluruh dunia, maka saya rasa dengan MoU inilah pondok kita khususnya dan pondok-pondok ataupun umat-umat penduduk di Selatan Thai ini dapat ambik faedah dari segi meningkatkan ekonomi.”

Datuk Hasanuddin Mohd Yunus,
Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkata,
“Saya ucapkan tahniah kepada GISB Holdings yang telah mengadakan MoU dan ini akan membuka pintu wakil dari Malaysia iaitu GISB Holdings dan kami dari YADIM dan agensi-agensi kerajaan akan turut memantau sejauh mana bantuan-bantuan itu dapat kita lakukan untuk pastikan pertumbuhan dan perkembangan pendidikan pondok-pondok di Pattani dan juga isu-isu yang berkaitan dengan ekonomi membangunkan supaya seluruh penduduk di ASEAN ini duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

“Jadi saya lihat tadi MoU pusingan pertama dengan Pondok Al-Hasani, saya percaya ia akan dikembangkan ke pondok-pondok lain sehingga anak-anak masyarakat Pattani di Selatan Thailand ini akan diberi peluang pendidikan yang akhirnya bukan hanya setaraf di Thailand itu sendiri malah di seluruh negara ASEAN kita dapat bersama-sama mengembangkannya,” menurutnya lagi.

Ustaz Taufiq, seorang kenalan lama GISBH berpendapat, sangat perlu GISBH mengadakan perjanjian sebegini dengan pondok-pondok yang lain kerana setiap pondok mempunyai cara berfikir tersendiri dan GISBH dilihat sebagai orang tengah yang mampu menyatukan semua golongan.

Majlis yang meriah ini dihadiri oleh seramai 240 tetamu termasuk pemimpin-pemimpin masyarakat, wakil-wakil kerajaan, baba-baba, juga pelajar-pelajar pondok sekitar Saiburi.

Moga MoU antara GISBH dengan Pondok Al-Hasani membuahkan hasil yang baik demi mengembalikan kegemilangan Pattani sebagai ‘Serambi Mekah’ di mana syiar Islam nampak megah di mana-mana.

Views: 56

Reviews for Majlis MoU antara GISBH dengan Pondok Al-Hasani, Saiburi, Pattani

There are currently no reviews for Majlis MoU antara GISBH dengan Pondok Al-Hasani, Saiburi, Pattani
Scroll to top