Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri – GISBH hantar rombongan.

Views: 16

PUTRAJAYA, 08.04.2022
GISB Holdings Sdn Bhd telah menghantar rombongan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya di sini, hari ini.
 
Rombongan menaiki bas dua tingkat milik GISBH itu diketuai oleh Ybhg Tuan Mohd Reza Mahar. Turut ikut serta ialah Ybhg Tuan Mohd Khabab Khalidan, Ybhg Tuan Harun Taat bersama rombongan seramai 25 orang di kalangan para pimpinan dan warga kerja GISBH.
 
Dianggarkan lebih 100,000 rakyat Malaysia, termasuk para diplomat dan warga asing yang berkunjung ke majlis tersebut. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri merekodkan jumlah kehadiran yang tinggi sebegitu. Majlis diserikan lagi dengan keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda YDP Agong pada jam 11.30 pagi yang sempat beramah mesra dengan para tetamu dan para hadirin.
 
Berbanding sebelum ini, majlis rumah terbuka ini diadakan pada hari raya ke 7 yang menjadikan kehadiran orang ramai di luar jangkaan. Ianya masa yang lebih selesa setelah masing-masing selesai mengunjungi ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai sebelumnya. Rata-rata mereka yang ditemui menyatakan kunjungan mereka di Majlis Sambutan Hari Raya Perdana Menteri itu adalah buat kali yang pertama dan berhasrat akan datang lebih awal pada Raya Haji akan datang.
 
Keadaan   para pengunjung begitu sesak terutama di pintu masuk kompleks Seri Perdana yang merupakan kediaman rasmi YAB Perdana Menteri Malaysia itu. Majlis yang dijadualkan bermula pada jam 10 pagi itu terpaksa diawalkan pada jam 9 pagi. Bahkan, menurut kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri, majlis tersebut juga yang sepatutnya berakhir pada jam 4 petang dianjakkan masanya sehingga majlis selesai sepenuhnya sekitar jam 6.00 petang.
 
Kelihatan para petugas terutama di empat puluh buah gerai pelbagai jamuan sangat keletihan melayan tetamu yang tidak putus-putus. Para pegawai Pejabat Perdana Menteri yang sempat ditemui menyatakan terujanya mereka melihat suasana pengunjung yang tidak putus-putus beratur masuk dan keluar sehingga selepas jam 4.00 petang. Anggaran awal kehadiran seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ialah sekitar 70 ribu orang ternyata meleset.
 
YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob begitu prihatin dengan rakyat yang masih terus beratur, terus melayan mereka bersama barisan jemaah menteri. Ada pengunjung memberi komen terhadap jumlah kehadiran yang begitu ramai dengan menganggap keadaan sedemikian memberi gambaran popularnya Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakop di hati rakyat.
 
Rombongan GISBH mengambil kesempatan bertemu dan beramah mesra dengan para jemputan dan orang ramai yang hadir. Mereka juga bersama orang ramai berbaris untuk bersalam dengan YAB Perdana  Menteri dan barisan jemaah menteri. Wakil GISBH sempat menyampaikan salam daripada YDH Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH kepada YAB Perdana Menteri yang kelihatan tersenyum mengangguk-ngangguk dan menjawab salam.  
 
Apa yang menarik ialah kewujudan bas dua tingkat milik GISBH di kawasan hadapan pintu masuk ke Seri Perdana. Rekabentuknya yang unik itu begitu menarik perhatian para pengunjung yang bertali arus pada laluan masuk dan keluar di lokasi berhampiran. Begitu terasa perlunya Islam itu diwibawakan sehingga semua pihak akan jatuh hati dengan Islam.

Views: 16

Reviews for Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri – GISBH hantar rombongan.

There are currently no reviews for Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri – GISBH hantar rombongan.
Scroll to top