Majlis Silaturrahim eratkan RPU dengan rakan lama

Views: 13

SEPANG 14-16.05.2022
Remaja Pembela Ummah (RPU) telah menganjurkan sebuah majlis silaturrahim bersama rakan-rakan lama mereka di Pusat Latihan Remaja Pembela Ummah Labu Lanjut di sini, baru-baru ini.

Majlis selama tiga hari ini merupakan kali kedua dianjurkan setelah dibuat sebelum ini di Saza Beach Villa & Chalet, Kuala Linggi, Melaka pada bulan Mac yang lalu.

Majlis yang bertujuan untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim dan kasih sayang dengan pelbagai aktiviti yang menarik ini berjaya mengumpulkan seramai 80 orang peserta untuk bersama-sama menjayakannya.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah sembahyang berjemaah, acara sukan seperti ‘archery combat’, tinju, sukan lasak ATV, sukan sunnah berkuda, sukan sunnah berenang dan lain-lain untuk membaiki hubungan dengan Tuhan dan menguatkan kasih sayang serta kemesraan sesama manusia.

Pihak penganjur mengharapkan melalui program ibadah yang utama seperti sembahyang berjemaah juga disiplin kehidupan harian yang lain akan terus menjadi amalan harian semua peserta hingga membina jati diri seorang yang akan memberi kesan yang baik ketika bersama keluarga dan masyarakat.

Ketua Remaja Pembela Ummah, YBhg Tuan Adib At-Tamimi yang pulang mengejut dari Indonesia terus menyertai majlis ini menambah ceriakan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Seorang peserta, Abd Haez bin Abd Rahim melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kerana dapat menyertai majlis ini walaupun bukan di kalangan kawan lama RPU;

“Pengisian programnya meriah terutama ibadahnya. Kami saling bergotong royong untuk kejut kawan-kawan bangun tahajud seawal jam 4 pagi. Tiada tidur selepas Subuh. Semuanya diisi untuk saling menghayati kebesaran Allah disamping ada tazkirah ringkas daripada RPU. Keselamatan akhirat tu, biar semua selamat sama-sama.”

“Beraktiviti bersama-sama Ybhg Tuan Adib, Ketua RPU dan pimpinan RPU yang lain adalah satu kenangan yang sangat mahal.”

“Semoga majlis seperti ini dapat diadakan dari masa ke semasa,” ujar beliau.

Begitulah program yang telah sama-sama dijayakan dalam mengisi Aidil Fitri dengan aktiviti yang sihat di kalangan para remaja.

Views: 13

Reviews for Majlis Silaturrahim eratkan RPU dengan rakan lama

There are currently no reviews for Majlis Silaturrahim eratkan RPU dengan rakan lama
Scroll to top