RAWANG, 21.03.2023
Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes Rawang telah menganjurkan program Gotong-Royong Perdana sempena ketibaan Ramadhan 1444 Hijrah baru-baru ini.
Program bermula pada jam 8.30 pagi dengan kehadiran 60 peserta, termasuk 40 orang staf GISBH di kalangan Remaja Pembela Ummah (RPU) diketuai YBhg Tuan Reza Mahar selaku Ketua Biro Pemuda Masjid Cahaya Iman bersama nazir masjid, Tuan Haji Fauzi Abd Rani.
Antara kerja-kerja dijalankan di luar masjid termasuklah menyusun kerusi dan meja di perkarangan masjid untuk jamuan berbuka puasa bagi 250 orang, menjalankan operasi kebersihan meliputi kerja-kerja membasuh peralatan makan minum di kawasan dapur dan membersihkan kawasan wudhuk, tangga dan longkang menggunakan ‘waterjet’.
Manakala kerja-kerja yang dijalankan di dalam masjid meliputi mengecat mihrab, menyusun buku-buku di rak, melakukan kerja-kerja penambahbaikan dan kekemasan termasuk stor di tingkat bawah dan tingkat satu.
Setelah bergotong royong, para peserta disajikan dengan jamuan nasi Arab dan kambing golek oleh pihak masjid.
Program berakhir pada jam satu tengah hari dan para peserta mendirikan solat berjemaah sebelum bersurai.
Semoga kerja-kerja amal seperti ini mendapat nilaian ibadah di sisi Allah serta menepati sabda Nabi Muhammad SAW; “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.”