Masyarakat di Bukit Raja meraikan Aidil Fitri di Rumah Terbuka GISBH cawangan Klang

KLANG, 22.05.2022
Orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama dari Bukit Raja dan sekitarnya hadir memeriahkan Rumah Terbuka anjuran GISBH cawangan Klang di perkarangan Pusat Perniagaan Ikhwan Bukit Raja di sini hari ini.

Peluang berkumpul begini setelah dua tahun dilanda Covid-19, diraikan penuh meriah oleh semua tetamu apabila GISBH mendirikan tujuh buah khemah untuk untuk berbagai-bagai hidangan juadah cara buffet dan persembahan nasyid.

Terdapat kambing bakar, ayam bakar, ketupat pulut, lemang, nasi himpit, rendang, nasi hujan panas, ayam masak merah, dalca, sate ayam dan daging, kuah kacang, laksa, ais krim, air kathira, cendol, air detox, teh bunga, pelbagai kuih raya dan pencuci mulut untuk dinikmati sambil menonton persembahan nasyid di pentas yang disediakan.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan rumah terbuka ini ialah En. Md Adim Bin Abdul Rahman, Ketua Kampung Rantau Panjang, En. Zulkifli Bin Othman, Presiden Persatuan Penduduk, Bandar Bukit Raja, Dr. Quah Perng Fei, Ahli Majlis Perbandaran Klang dan Pengerusi Surau Ar Raudhah, En. Zainizam dan 6 orang AJK surau.

YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, CEO GISBH hadir seawal jam 11 pagi sempat menyantuni para tetamu di majlis kali ini dan menyampaikan cenderhati kepada mereka sebagai menghargai sokongan yang diberi kepada GISBH.

Dr. Quah yang menjadi Ahli Majlis Perbandaran Klang Zon N40 meliputi kawasan Bukit Raja, memuji dan menyokong GISBH yang mengadakan majlis besar-besaran yang memudahkan semua orang hadir bukan dibuat di rumah secara kecil-kecilan.

Beliau yang kali pertama menjejaki kaki ke premis-premis GISBH gembira melihat perekmbangan perniagaan GISBH di Bukit Raja dan meminta pihak GISBH menghubunginya bila-bila masa jika memerlukan apa-apa bantuan.

Begitulah Allah jadikan majlis rumah terbuka Aidil Fitri ini menjadi tempat semua orang saling berkenal-kenalan, berkasih sayang dan bertolong bantu tanpa mengira agama dan bangsa.

Reviews for Masyarakat di Bukit Raja meraikan Aidil Fitri di Rumah Terbuka GISBH cawangan Klang

There are currently no reviews for Masyarakat di Bukit Raja meraikan Aidil Fitri di Rumah Terbuka GISBH cawangan Klang
Scroll to top