Melaksanakan Islam Adalah Cara Hidup di Pattani

Views: 26

PATTANI, 13.02.2023
GISBH menganjurkan satu pertemuan kasih sayang dengan Baba-Baba atau Tuan-Tuan Guru pengajian pondok, Alim Ulama dari Majlis Agama Islam Wilayah Selatan Thailand dan Jamiyyah Ulama Fatoni Darus Salam serta wakil dari Jamaah Tabligh dengan tema;
‘Melaksanakan Islam Adalah Cara Hidup’ di hotel CS Pattani, di sini semalam.

Majlis yang diisi dengan ucapan alu-aluan dari Baba Suwari Hj Hassan, Presiden Persatuan Pondok 5 Wilayah Selatan, ucapan para perwakilan, tayangan profil GISBH dan produk media Ikhwan, ucaptama daripada YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Excutive Chairman GISBH dan sesi soal jawab itu diselang seli dengan alunan nasyid daripada Generasi Harapan.

Dalam ucaptamanya, Tuan Chairman menekankan kedatangan GISBH adalah untuk bersilaturrahim, ziarah, dakwah dan tijarah dengan umat Islam di Pattani kerana tiada ‘border’ dalam Islam kerana kita semua bersaudara. Lebih-lebih lagi Pattani yang yang terkenal dengan jolokan ‘Serambi Mekah’.

“Lebih-lebih lagi terdapat 577 buah pondok di bawah Persatuan Pondok 5 Wilayah Selatan Thailand yang mempunyai aset bernilai tinggi iaitu seramai 45 ribu orang pelajar yang boleh dimanfaatkan untuk Islam,” ujar Tuan Nasiruddin.

Pada Chairman, tenaga-tenaga dari pondok adalah aset yang merupakan kekuatan umat Islam dalam melahirkan generasi untuk membangunkan pelbagai sektor di dalam masyarakat Islam seperti pertanian, penternakan, perkilangan, ekonomi dan lain-lain.

“Kekuatan asasnya telah ada iaitu keberkatan datuk moyang kita seperti Syeikh Daud Al-Fatoni tetapi kalau cucu dan cicitnya tidak menjaga keberkatan, tidak membersihkan hati, tidak menguatkan iman, tidak melawan nafsu, terlibat membuat dosa, kita akan lemah. Musuh tidak kuat tetapi kita yang lemah,” kata Tuan Chairman.

“Bila kita lemah, musuh menguasai kita, sedangkan sepatutnya umat Islam menaungi dan memayungi semua orang termasuk yang bukan Islam. Hari ini, umat Islam bernaung di bawah bukan Islam hatta makan minum kita pun bukan Islam yang sediakan, ia adalah satu penghinaan,” tegas Tuan Nasiruddin lagi.

Oleh itu GISBH ingin bekerjasama dengan warga Pattani khasnya di bidang ekonomi seperti membangunkan ternakan ayam berskala besar di setiap rantaiannya seperti baka ayam, ayam parent, pengeraman, penetasan, anak ayam, makanan ayam hingga kepada pemprosesan ayam dan pengedarannya.

Begitu juga dalam bidang pertanian, perikanan, kilang-kilang produk makanan halal seperti sos cili, tomato, mi kuning, kuetiaw dan lain-lain.

Tuan Chairman menyambung, “Kita perlu sediakan makanan yang benar-benar halal kerana hati ditempa daripada apa yang kita makan. Makanan yang haram dan syubhat menggelapkan hati dan susah menerima kebenaran.”

Menurut beliau, kalau hati bersih, kuat Iman, kita boleh hadapi ekonomi bukan Islam yang sangat menguasai umat Islam hari ini. Sebenarnya mereka tidak kuat, tetapi kita yang lemah.

“Di dalam GISBH kita menggerakkan tenaga remaja yang kita didik agar menjaga sembahyang, tidak membuat dosa, kuatkan ukhwah dan kasih sayang. Berdakwah menggunakan alat moden seperti motorsikal berkuasa besar dan motorhomes.

Dengan iman yang kuat, ujian yang datang boleh dihadapi. Kenapa kita makan makanan yang dibuat oleh orang bukan Islam? Mengapa kita tidak buat sendiri?

Dengan didikan, remaja yang dahulunya tidak bersembahyang, berubah menjaga sembahyang, dulu terlibat dengan dosa dan maksiat berubah menjadi remaja yang berdisiplin dan berakhlak,” itu antara penekanan yang dibuat oleh YBhg Chairman dalam ucaptamanya.

Program yang diteruskan dengan sesi soal jawab memberi peluang kepada para peserta untuk lebih mengenali GISBH dan para pimpinannya.

Moga hubungan GISBH dengan para alim ulama di selatan Thailand akan memberi faedah kepada Islam dan umatnya.

Views: 26

Reviews for Melaksanakan Islam Adalah Cara Hidup di Pattani

There are currently no reviews for Melaksanakan Islam Adalah Cara Hidup di Pattani
Scroll to top